Khutbah Jumaat Seru Umat Islam Rebut Kelebihan Penghujung Ramadan
KANGAR, 13 Mac 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri hari ini mengajak umat Islam memanfaatkan baki Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadah sebelum berakhirnya bulan yang penuh keberkatan ini.
Khutbah bertajuk “Amalan di Penghujung Ramadan” menekankan bahawa Ramadan kini telah memasuki fasa akhir, iaitu sepuluh malam terakhir yang amat dituntut untuk dipenuhi dengan ibadah, muhasabah diri serta mempertingkatkan ketaatan kepada Allah SWT.
Menurut khutbah tersebut, umat Islam diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang pada penghujung Ramadan kerana tempoh yang berbaki hanyalah beberapa hari sahaja lagi. Ramadan merupakan bulan yang dipenuhi rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, justeru setiap Muslim digalakkan menamatkannya dengan amal terbaik.
Antara amalan yang disarankan dalam khutbah tersebut termasuk memperbanyakkan solat malam, membaca serta mentadabbur al-Quran, berzikir, beristighfar dan memperbanyakkan doa. Umat Islam juga digalakkan untuk menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah kerana padanya terdapat Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Selain itu, khutbah turut mengingatkan agar umat Islam meningkatkan amalan bersedekah, membantu golongan yang memerlukan serta mempersiapkan diri untuk menunaikan zakat fitrah sebagai penyucian bagi ibadah puasa yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan.
Khutbah berkenaan juga menyeru agar setiap Muslim melakukan muhasabah diri terhadap amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan serta berazam untuk mengekalkan amalan kebaikan tersebut walaupun selepas Ramadan berakhir.
Sehubungan itu, umat Islam di Negeri Perlis khususnya diseru untuk terus mengimarahkan masjid dan surau sepanjang baki Ramadan ini dengan pelbagai amalan ibadah agar bulan yang mulia ini dapat diakhiri dengan sebaik-baiknya.







