Jom Ramadan Di Perlis Terus Meriah

Jom Ramadan Di Perlis Terus Meriah

KANGAR, PERLIS – Program Jom Ramadan di Perlis mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat sejak awal bulan Ramadan. 

Pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan dianjurkan bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini.Antara pengisian utama ialah Durus Ramadan yang diadakan setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Program ini menampilkan kuliah agama, tazkirah, bacaan serta tadabbur al-Quran yang disampaikan oleh para asatizah tempatan. Kehadiran jemaah yang konsisten setiap hari membuktikan komitmen masyarakat dalam meningkatkan ilmu dan penghayatan agama.

Program tahunan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis ini turut menawarkan slot berbuka puasa secara berjemaah di sekitar Perkarangan Masjid Alwi. 

Masjid bersejarah yang terletak di pusat bandar Kangar itu dipenuhi jemaah seawal petang bagi menikmati juadah berbuka yang disediakan hasil sumbangan pelbagai pihak.

Suasana berbuka berlangsung dalam keadaan tertib dan mesra, dengan jemaah saling bertegur sapa serta membantu antara satu sama lain. Kebersamaan ini memperlihatkan semangat kekitaan dan ukhuwah yang baik dalam kalangan masyarakat sepanjang penganjuran program ini.

Selepas berbuka puasa, jemaah meneruskan ibadah dengan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah. Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah menyemarakkan lagi syiar Islam di negeri Perlis. 

Orang ramai, khususnya penduduk sekitar, dialu-alukan untuk turut serta memeriahkan program Jom Ramadan di Perlis, di Masjid Alwi, Kangar, Perlis.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 106
Semalam 2299
Minggu Ini 106
Bulan Ini 21159

Keseluruhan 3533766

   Masa Capaian : 1.06 saat    Kemaskini :  08/3/2026