Raja Muda Perlis Berkenan Berangkat ke Majlis Santapan Malam Bersama Delegasi PISC 2026

Raja Muda Perlis Berkenan Berangkat ke Majlis Santapan Malam Bersama Delegasi PISC 2026
Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Delegasi Perlis International Sunnah Convention 2026 (PISC 2026) yang berlangsung di Elissa Hotel & Suites, Jalan Kangar–Alor Setar, Taman Mutiara, Kangar.
 
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
 
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan delegasi serta tokoh ilmuwan dan pendakwah antarabangsa terkemuka, antaranya Sheikh Datuk Hussain Yee, Sheikh Abdul Raheem Green, Sheikh Assim Al-Hakeem, Sheikh Abdul Raheem McCarthy, Sheikh Abu Usamah Al-Thahabi, Sheikh Farhan Rafee, Sheikh Dr. Zakir Naik, Sheikh Dr. Muhammad Salah, Sheikh Haitham Al-Haddad serta Sheikh Mohammad al-Naqwi.
 
Perlis International Sunnah Convention 2026 (PISC 2026) merupakan sebuah konvensyen ilmiah bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah serta pencinta ilmu bagi membincangkan kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
 
Konvensyen ini merupakan acara tahunan anjuran Negeri Perlis dan turut disenaraikan dalam kalendar rasmi Tahun Melawat Perlis 2024–2026, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai pusat pengembangan dan penyebaran ilmu Islam.
 
PISC 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2026 bertempat di Dewan 2020, Kangar.
 
Sepanjang penganjurannya, konvensyen ini menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi merangkumi syarahan dan pembentangan ilmiah oleh ulama tempatan serta antarabangsa, forum dan wacana berkaitan isu semasa umat Islam, sesi interaksi serta perkongsian ilmu bersama para ilmuwan, di samping menjadi platform pengukuhan kefahaman Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
PISC 2026 dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan sokongan utama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik dan badan bukan kerajaan.
 
Penganjuran PISC 2026 bukan sahaja berfungsi sebagai medan penyebaran dakwah dan ilmu, malah berperanan penting dalam mengangkat Negeri Perlis sebagai hab ilmu Islam serta destinasi pelancongan berteraskan ilmu dan kerohanian di peringkat nasional dan antarabangsa.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1641
Semalam 1740
Minggu Ini 1641
Bulan Ini 26805

Keseluruhan 3636845

   Masa Capaian : 0.90 saat    Kemaskini :  15/5/2026