Program Ziarah Jabatan Mufti Negeri Perlis Eratkan Hubungan Bersama Masyarakat
SIMPANG AMPAT, 6 Januari 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Program Ziarah Jabatan Mufti Negeri Perlis Bilangan 1/2026 bertempat di Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat, Perlis, selepas solat Maghrib.
Program ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, yang turut menyampaikan pengisian serta sesi soal jawab hukum bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh para jemaah.
Penganjuran program ziarah ini antara lain bertujuan untuk mendekatkan institusi mufti dengan masyarakat setempat, di samping menyampaikan bimbingan dan pencerahan berkaitan isu-isu semasa agama serta kefahaman Islam yang sahih.
Majlis telah dikendalikan oleh moderator, Muhammad Amir bin Sobri, Pegawai Muballigh Jabatan Mufti Negeri Perlis. Kehadiran masyarakat setempat amat menggalakkan dan jelas mencerminkan sambutan positif terhadap usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam menyantuni masyarakat melalui pendekatan turun padang.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Mufti Negeri Perlis, Sahibus Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, bersama pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis. Program ini turut diserikan dengan edaran buku-buku terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis secara percuma kepada para jemaah yang hadir.
Program ziarah seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan antara pihak berautoriti agama dan masyarakat, selaras dengan peranan Jabatan Mufti Negeri Perlis sebagai rujukan utama dalam hal ehwal agama Islam di negeri ini.







