Kunjung Hormat Hospital Tuanku Fauziah Ke Jabatan Mufti Negeri Perlis
Kangar, 5 Januari 2026 – Pengarah bersama pegawai-pegawai Hospital Tuanku Fauziah telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam satu pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perlis, hari ini.
Kunjung hormat tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta pencerahan daripada pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis berhubung kaedah pelupusan spesimen solid organ di Negeri Perlis, selaras dengan keperluan perubatan dan pematuhan kepada hukum syarak.
Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan berkaitan isu-isu fiqh perubatan, etika serta garis panduan syariah yang wajar diambil kira dalam pengurusan dan pelupusan spesimen organ pepejal. Perbincangan ini diharap dapat membantu pihak hospital melaksanakan prosedur pelupusan yang lebih teratur, beretika dan menepati kehendak Islam.
Pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis menyambut baik kunjungan ini dan menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan institusi kesihatan dalam menangani isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan hukum syarak dan kebajikan masyarakat.
Kunjung hormat ini mencerminkan hubungan kerjasama yang baik antara institusi kesihatan dan institusi agama dalam memastikan setiap pelaksanaan prosedur perubatan di Negeri Perlis dilaksanakan secara berhemah, patuh syariah dan berlandaskan kepentingan awam.







