Khutbah Jumaat Tegaskan Keberkatan Datang Melalui Ketaatan Kepada Allah
KANGAR, 12 Disember 2025 – Keberkatan dalam kehidupan tidak diukur semata-mata melalui pertambahan harta, pangkat atau usia, sebaliknya lahir daripada ketaatan dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.
Perkara tersebut ditegaskan dalam khutbah Jumaat bertajuk “Bagaimana Memperoleh Keberkatan” yang disampaikan di seluruh masjid di Negeri Perlis hari ini, dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis .
Khutbah berkenaan menjelaskan bahawa keberkatan merujuk kepada kebaikan yang banyak, berterusan dan memberi manfaat, sama ada dalam rezeki, keluarga, pekerjaan, persahabatan mahupun umur seseorang. Keberkatan juga menjadikan seseorang merasa cukup walaupun dengan sedikit nikmat, serta tenang meskipun diuji.
Menurut khutbah tersebut, sumber utama keberkatan adalah al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-An‘am ayat 92 yang menegaskan bahawa al-Quran diturunkan sebagai kitab yang penuh dengan keberkatan. Amalan membaca, memahami dan menghayati al-Quran diyakini mampu melapangkan rezeki, menenangkan jiwa serta mempermudah urusan kehidupan.
Khutbah turut menghuraikan beberapa aspek utama dalam memperoleh keberkatan, antaranya menjaga halal dan haram dalam rezeki, membina keluarga berteraskan agama dan akhlak mulia, memilih sahabat yang membawa kepada kebaikan, melaksanakan pekerjaan dengan jujur dan amanah, serta memanfaatkan umur dengan amal soleh.
Selain itu, umat Islam turut diingatkan agar sentiasa mendoakan keberkatan dalam setiap nikmat yang diterima, sebagaimana doa yang pernah dipanjatkan Rasulullah SAW untuk para sahabat baginda.
Pada khutbah kedua, jemaah turut diseru agar saling membantu dan meringankan kesusahan sesama insan, kerana perbuatan tersebut bukan sahaja membawa ganjaran di akhirat, malah mendatangkan ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan di dunia.
Khutbah ini mengajak seluruh umat Islam agar menjadikan ketaatan kepada Allah SWT sebagai asas kehidupan, demi memperoleh keberkatan yang menyeluruh dan berpanjangan.







