Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis Kali Ke-77 Berlangsung Dua Hari di Kuala Lumpur
Kuala Lumpur, 1 Dis — Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-77/2025 yang dipengerusikan oleh SS Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Disember 2025 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Mesyuarat memberi tumpuan kepada pembentangan kertas fatwa melibatkan pelbagai isu syariah semasa.
Antara kertas penting yang dibincangkan ialah Garis Panduan Pelaksanaan i-Syifa’ bagi pengamal pengubatan Islam, cadangan mekanisme kutipan zakat wang simpanan MAIPs bersama Bank Islam Malaysia Berhad, serta hukum kedudukan anak lelaki sebagai wali pernikahan.
Turut dibahaskan ialah permasalahan fiqh darah wanita, penilaian semula kaedah penentuan tempoh haid di Malaysia, serta isu ancaman dakyah Unification Church yang melibatkan masyarakat Melayu dan pelajar.
Mesyuarat bersambung pada 2 Disember dengan beberapa kertas tambahan termasuk garis panduan memahami epistemologi ilmu ghaib, pengurusan tanah perkuburan Islam Negeri Perlis dan kaedah terjemahan ayat-ayat sifat bagi naskhah terbitan MAIPs.
Mesyuarat ini merupakan prosedur tetap dan proses semakan menyeluruh yang perlu dilaksanakan sebelum sesuatu fatwa diputuskan dan diwartakan bagi memastikan ketepatan hukum serta kesesuaiannya dengan keperluan masyarakat.







