Dr. Maza Sampaikan Ucaptama di International Conference Milad Muhammadiyah ke-113 & Milad UMAM ke-4
KANGAR, 26 November 2025 – Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, hari ini menyampaikan ucaptama pada 2025 International Conference: Strengthening Transformative Leadership for Sustainable Muhammadiyah Higher Education yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia.
Konferens antarabangsa ini dianjurkan bersempena Milad Muhammadiyah ke-113 dan Milad Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) ke-4, serta menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan dan akademik dari Malaysia, Indonesia dan negara-negara rantau.
Dalam ucaptamanya, Dr. Maza menekankan beberapa perkara penting berkaitan hala tuju pendidikan Islam dan konsep kejayaan sebenar menurut perspektif nilai dan agama. Beliau menggariskan bahawa pendidikan merupakan teras pembentukan masyarakat yang berjaya, dan kejayaan itu tidak wajar diukur dari sudut kemajuan material semata-mata.
Ucaptama tersebut turut menyentuh bahawa kejayaan hakiki bagi seorang Muslim ialah kejayaan yang membawanya menuju syurga, iaitu kejayaan yang berpaksikan ilmu, akhlak, amanah serta ketundukan kepada ajaran agama. Justeru, pendidikan Islam perlu membentuk insan yang bukan hanya cemerlang dalam kompetensi duniawi, tetapi juga berpegang kepada prinsip kebenaran dan takwa.
Persidangan ini menampilkan penyertaan ramai sarjana terkemuka seperti Dr. H. Saidul Amin, MA; Prof. Dr. Bambang Setiaji; Prof. Dr. H. Irwan Akib; Prof. Dr. Winai Dahlan; Prof. Ahmadi Muttaqin dan lainnya.
Program anjuran Majlis Milad Muhammadiyah dengan kerjasama UMAM ini menjadi medan penting dalam mengukuhkan kepimpinan transformasi serta kelestarian pendidikan tinggi Muhammadiyah di peringkat antarabangsa.







