Bahaya Hasad Dengki
Kangar, 21 November 2025 — Khutbah Jumaat di seluruh Negeri Perlis hari ini memberi tumpuan kepada peringatan penting mengenai bahaya sifat hasad dengki yang digambarkan sebagai penyakit hati yang mampu merosakkan hubungan sesama manusia serta menjejaskan kesejahteraan rohani. Khutbah menekankan bahawa Islam ialah agama yang mendidik manusia agar membersihkan hati daripada sifat-sifat keji, termasuklah hasad yang menjadi punca permusuhan dan kebencian.
Khutbah menjelaskan bahawa cara utama untuk menghindari hasad dengki ialah dengan menyedari bahawa segala nikmat dan rezeki merupakan ketetapan Allah SWT. Kesedaran ini akan melahirkan hati yang reda dan tenteram serta menghalang seseorang daripada merasa cemburu terhadap kelebihan orang lain. Selain itu, umat Islam diseru untuk sentiasa memohon perlindungan Allah daripada keburukan hasad, antaranya melalui amalan membaca Surah al-Ikhlās, al-Falaq dan an-Nās sebagai benteng diri daripada gangguan manusia, syaitan, sihir serta mata yang jahat.
Khutbah turut menekankan bahawa sifat kasih sayang dan keikhlasan sesama Muslim merupakan ubat bagi penyakit dengki, kerana seseorang yang benar-benar menyayangi saudaranya tidak akan mengharapkan keburukan menimpanya. Di samping itu, jemaah diingatkan supaya memahami kesan buruk perbuatan hasad dengki, kerana sifat ini bukan sahaja merosakkan jiwa di dunia bahkan membawa akibat berat pada hari akhirat. Orang yang terjerumus dalam sifat ini seolah-olah mempertikaikan ketentuan Allah terhadap rezeki serta kedudukan yang telah ditetapkan-Nya dengan penuh hikmah.
Khutbah berakhir dengan seruan supaya umat Islam sentiasa bermuhasabah diri, memperbaiki hati dan menjauhi sifat dengki demi menjaga keharmonian hidup serta memelihara perpaduan dalam masyarakat.







