Majlis Ilmuan Nusantara Kali Ketiga Rasmi Dibuka Di Perlis

Majlis Ilmuan Nusantara Kali Ketiga Rasmi Dibuka Di Perlis

KANGAR, 12 November 2025 – Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga Tahun 2025, yang berlangsung dari 12 hingga 13 November 2025, membuka sidang rasmi hari ini di Kompleks Seri Putra, Kangar. Persidangan berprestij ini menghimpunkan tokoh-tokoh ulama dan sarjana Islam dari pelbagai negara rantau ini bagi membincangkan tema “Ta‘āwun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan.”

Sidang anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, yang menekankan kepentingan memperkukuh semangat ta‘āwun (kerjasama) dan pertukaran pandangan antara ilmuwan serantau bagi memperkasakan dakwah Islam yang berteraskan ilmu, hikmah dan perpaduan.

Delegasi Indonesia hadir dengan barisan tokoh ilmuwan tersohor termasuk K.H. Dr. Nashirul Haq Marling, Prof. Dr. H. Syamsul Anwar, Dr. Muhammad Yusram Anshar, Dr. Rahmat Abdul Rahman, Ustaz Fahmi Salim, Dr. Saidul Amin, KH. Nidlol Masyhud dan Ustaz Mohamad Ali Bazher.

Dari Thailand, hadir Asst. Prof. Dr. Abdurrohman Chapakiya serta Syaikh Wan Syukri bin Wan Ismail al-Fathoni bersama dua pembantu beliau. Delegasi Kemboja diketuai oleh H.E. Dr. Hosen Mohamad Farid, manakala Singapura diwakili oleh Ustaz Muhammad Azri bin Azman dan Dr. Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh.

Delegasi Malaysia pula terdiri daripada barisan ilmuwan dan tokoh akademik pelbagai institusi termasuk Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, Prof. Dr. Muhammad Rozaimi bin Ramle, Prof. Dr. Basri Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahlan, Dr. Abdullah bin Yasin, Dr. Abu Hafiz bin Salleh Hudin, Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya dan Prof. Madya Dr. Roshimah binti Shamsudin.

Sidang hari pertama menampilkan perbahasan ilmiah oleh para pembentang utama yang berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai pendekatan dakwah di negara masing-masing. Antara pembentang utama ialah Prof. Dr. Muhammad Rozaimi bin Ramle (Malaysia), Prof. Dr. H. Syamsul Anwar (Indonesia), H.E. Dr. Hosen Mohamad Farid (Kemboja), Asst. Prof. Dr. Abdurrohman Chapakiya (Thailand) dan Ustaz Muhammad Azri bin Azman (Singapura). Perbincangan tersebut diikuti dengan sesi ulasan oleh ahli-ahli persidangan yang menyorot keperluan memperkukuh jaringan ilmu dan memperluas sinergi dakwah rentas sempadan.

Para delegasi luar negara mula tiba di Perlis sejak semalam melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Ketibaan mereka disambut oleh wakil rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis sebelum menghadiri majlis sambutan pra-persidangan dan jamuan malam di hotel penginapan.

Persidangan dua hari ini akan diteruskan esok dengan sesi pembentangan Resolusi Majlis Ilmuwan Nusantara 2025 serta Majlis Perasmian Bersama Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) yang dijadual disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 615
Semalam 1210
Minggu Ini 4231
Bulan Ini 37923

Keseluruhan 3609491

   Masa Capaian : 1.18 saat    Kemaskini :  27/4/2026