Ilmuwan Nusantara Himpun Di Perlis Bincang Semangat Ta‘Awun Dalam Dakwah
KANGAR, 11 November 2025 – Para anggota dan delegasi ilmuwan dari rantau Nusantara mula tiba di Perlis bagi menghadiri Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-3 Tahun 2025 yang akan berlangsung pada 12 hingga 13 November 2025.
Persidangan berprestij ini merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan tema Ta’awun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan.”
Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) merupakan platform keilmuan tahunan yang menghimpunkan tokoh-tokoh ulama, sarjana dan cendekiawan Islam dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Persidangan ini bertujuan memperkukuh jaringan keilmuan serta memupuk semangat ta‘awun (kerjasama) dalam kalangan ilmuwan Islam serantau melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan pendekatan dakwah semasa.
Ketibaan para delegasi disambut oleh wakil rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinag sebelum dibawa ke Perlis bagi menghadiri majlis rasmi dan sesi pra-persidangan. Persiapan akhir termasuk semakan protokol, penginapan dan atur cara persidangan telah disempurnakan oleh pihak urus setia bagi memastikan kelancaran program.
Persidangan dua hari ini dijangka akan dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, dan akan menampilkan pembentangan utama daripada tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka rantau ini. Majlis penutup pula akan menyaksikan pembentangan resolusi bersama yang menekankan kepentingan kerjasama, selaras dengan aspirasi menjadikan Perlis sebagai pusat ilmu Islam serantau.







