Islam dan Kesihatan Mental

Islam dan Kesihatan Mental

KANGAR, 7 November 2025 – Khutbah Jumaat yang disampaikan di seluruh masjid di Negeri Perlis hari ini menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental berlandaskan ajaran Islam.

Khutbah berkenaan mengingatkan bahawa Islam bukan sahaja menyeru umatnya menjaga kesihatan jasmani, malah turut menitikberatkan kesejahteraan jiwa dan ketenangan hati. Tanpa ketenangan dalaman, seseorang mudah berputus asa serta lemah dalam menghadapi cabaran hidup.

Antara panduan menjaga kesihatan mental yang digariskan dalam teks khutbah bertajuk “Islam dan Kesihatan Mental” ialah memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui solat, memperbanyakkan zikir, menjauhi perasaan berputus asa, memilih sahabat yang baik, serta sentiasa bersyukur atas nikmat Allah SWT.

Khutbah turut menjelaskan bahawa solat lima waktu bukan sekadar ibadah wajib, tetapi menjadi penawar hati yang mendidik disiplin dan menenangkan fikiran. Rasulullah SAW sendiri menjadikan solat sebagai tempat beristirahat daripada tekanan kehidupan.

Selain itu, zikir disebut sebagai “kehidupan bagi hati”, manakala jiwa yang lalai daripada mengingati Allah diumpamakan seperti orang mati. Islam juga mengingatkan agar umatnya tidak terperangkap dalam kesedihan atau keputusasaan kerana setiap ujian mengandungi hikmah dan peluang untuk memperbaiki diri.

Khutbah turut menegaskan kepentingan bergaul dengan sahabat yang soleh kerana persekitaran yang baik membantu membina kestabilan emosi dan kekuatan rohani. Rasa syukur pula disebut sebagai ubat bagi tekanan batin kerana ia melahirkan ketenangan serta memupuk pemikiran positif dalam diri seorang mukmin.

Khutbah mingguan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis itu juga menyeru umat Islam supaya mengamalkan kehidupan berteraskan keimanan, menjauhi perkara yang haram seperti arak, dadah dan rokok dalam usaha mencari ketenangan hidup, serta menghidupkan rumah dengan bacaan al-Quran bagi memperoleh rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1769
Semalam 2166
Minggu Ini 3935
Bulan Ini 43933

Keseluruhan 3653973

   Masa Capaian : 0.98 saat    Kemaskini :  26/5/2026