Guru Agama Pemangkin Kefahaman Islam Sebenar - DYTM Raja Muda Perlis
KANGAR, 6 November – Guru agama memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam membentuk kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat, titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, hari ini.
Tuanku Raja Muda bertitah, penyampaian ilmu merupakan suatu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan oleh setiap guru agama. Baginda turut menekankan keperluan untuk memperkukuh penguasaan ilmu teras Islam dan Bahasa Arab agar kefahaman terhadap sumber asal ajaran Islam kekal terpelihara.
Majlis anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis itu menyaksikan seramai 27 penerima menerima Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis bagi tahun 2025, terdiri daripada lapan penerima Tauliah Umum dan 19 penerima Tauliah Al-Quran dan Tajwid.
Ucapan aluan disampaikan oleh Sahibul Fadhilah YBrs. Tuan Haji Tajul Urus bin Abdul Halim, Timbalan Mufti Negeri Perlis, manakala pembentangan utama bertajuk “Kaedah Penyampaian Berkesan Dalam Pengajaran Agama Islam di Negeri Perlis” disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Rizal bin Azizan, Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis.
Turut hadir, YB Tuan Rus’sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis; YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis; barisan Exco Kerajaan Negeri; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Lebih 300 peserta terdiri daripada guru-guru agama seluruh negeri dan masyarakat awam turut hadir bagi menjayakan simposium yang bertujuan memperkasa sistem pengawasan serta meningkatkan kualiti pengajaran agama Islam di negeri ini. Program ini juga berperanan menyemai kesedaran dalam kalangan guru agama agar menjadi penyampai ilmu yang berwibawa, berilmu dan berhikmah.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran buku terbaharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis bertajuk “Dianggap Sunnah Tapi Bukan Sunnah” hasil karya Prof. Dr. Muhammad Rozaimi bin Ramlee, Rektor Universiti Islam Perlis (UniSIRAJ). Selain itu, turut diadakan pelancaran senarai penceramah Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026, yang menjadi antara acara kemuncak tahunan anjuran jabatan tersebut.







