DYTM Raja Muda Perlis Lancar Buku “Dianggap Sunnah Tapi Bukan Sunnah” Terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis
KANGAR, 6 November 2025 – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, berkenan menyempurnakan pelancaran buku terbaharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis bertajuk “Dianggap Sunnah Tapi Bukan Sunnah” hasil karya Prof. Dr. Muhammad Rozaimi bin Ramlee, Rektor Universiti Islam Perlis (UniSIRAJ).
Pelancaran tersebut diadakan bersempena Simposium Pengawasan Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, pagi tadi.
Buku “Dianggap Sunnah Tapi Bukan Sunnah” membicarakan secara ilmiah pelbagai amalan masyarakat yang sering dianggap sebagai sunnah, namun sebenarnya tidak mempunyai asas yang sahih menurut ajaran Rasulullah SAW. Karya ini menampilkan pendekatan hujah berasaskan dalil, disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami dan berfakta.
Penerbitan buku ini merupakan inisiatif Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai usaha memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap konsep sunnah sebenar yang berteraskan ilmu, hujah dan hikmah.
Turut berangkat, DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis. Hadir sama, Sahibul Fadhilah YBrs. Tuan Haji Tajul Urus bin Abdul Halim, Timbalan Mufti Negeri Perlis, serta lebih 200 peserta terdiri daripada guru-guru agama dan masyarakat awam.







