Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Laksana Misi Safar Ilmi Ke Surabaya, Indonesia

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Laksana Misi Safar Ilmi Ke Surabaya, Indonesia
Surabaya, 25 Oktober 2025 – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang diketuai oleh Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, telah berjaya melaksanakan Misi Safar Ilmi ke Surabaya, Indonesia bermula 21 hingga 25 Oktober 2025. Lawatan ini bertujuan memperkukuh jaringan keilmuan dan hubungan strategik antara institusi fatwa di Perlis dengan beberapa Organisasi Masyarakat (ORMAS) Islam dan Institusi Pendidikan Islam di sekitar Surabaya Indonesia.
 
Delegasi seramai 17 orang ini terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan termasuk Prof. Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle, Prof. Dr. Azman bin Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman, Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah, Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin, Dr. Zaitun Rasmin, Ustaz Burhanuddin bin Lokman dan Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Nor turut bersama misi Safar Ilmi ini serta beberapa pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis yang bertindak sebagai urusetia dan krew media.
 
Sepanjang misi berlangsung, delegasi telah mengadakan siri kunjungan rasmi, perbincangan ilmiah dan sesi tausiah bersama institusi utama di Surabaya antaranya Pimpinan Wilayah Muhammadiyah (PWM) Jawa Timur, Universitas Muhammadiyah Surabaya, Pesantren Persatuan Islam (PERSIS) Bangil, dan Dewan Pimpinan Wilayah Perhimpunan Al-Irsyad di STAI Ali bin Abi Tolib. Pihak MAIPs berbesar hati menyalurkan sedikit sumbangan kepada pihak yang dikunjungi dalam membantu usaha dakwah dan pendidikan Islam. 
 
Selain itu, delegasi turut mengadakan sesi forum dan tausiah bersama ilmuan Perlis di beberapa masjid Muhammadiyah di sekitar Surabaya seperti Masjid al-Badar, Masjid al-Manar, dan Masjid al-Ikrom. Program ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah ilmiah, malah mengangkat semangat ta‘awun antara dua institusi Islam serantau dalam memperkukuh kefahaman Islam yang seimbang serta berpaksikan ilmu dan hujah.
 
Lawatan ilmiah ini diteruskan ke Jember, Jawa Timur, bagi sesi pertemuan bersama Dr. Syafiq Basalamah serta pihak Sekolah Tinggi Dirasat Islamiyah (STDI) al-Imam al-Syafie. Dalam pertemuan bersejarah ini, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) telah termeterai antara STDI al-Imam al-Syafie dan Jabatan Mufti Negeri Perlis yang memberi tumpuan kepada pengembangan dakwah, pendidikan, penyelidikan dan fatwa di rantau Asia Tenggara.
 

Misi Safar Ilmi ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam menjadikan negeri ini sebagai pusat rujukan ilmu dan fatwa berwibawa di rantau Nusantara. Ia turut memperkukuh visi jabatan berteraskan prinsip “Ilmu, Hujah dan Hikmah” dalam memperkasakan agenda keagamaan, penyelidikan serta hubungan antarabangsa Islam kontemporari.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 313
Semalam 2166
Minggu Ini 2479
Bulan Ini 42477

Keseluruhan 3652517

   Masa Capaian : 1.00 saat    Kemaskini :  22/5/2026