Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW
Kangar, 26 September 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam khutbah Jumaat minggu ini menyeru umat Islam agar menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Khutbah yang bertajuk “Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW” menekankan amalan-amalan yang boleh diamalkan bagi membentuk peribadi, keluarga serta masyarakat yang berakhlak mulia dan bertakwa.
Antara amalan yang ditekankan dalam khutbah tersebut ialah menghidupkan sunnah solat secara berjemaah, berzikir selepas solat fardu, menziarahi kubur serta mendoakan mereka yang telah meninggal dunia.
Umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian, di samping memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Khutbah tersebut turut mengingatkan bahawa menghidupkan sunnah Nabi SAW membawa kepada keredaan Allah SWT serta menjadi benteng daripada penyelewengan dan amalan bid‘ah yang menyesatkan. Setiap sunnah yang diamalkan dengan ikhlas akan menerangi hati, menenangkan jiwa, dan membimbing kehidupan mengikut panduan syariat.
Khatib turut menyeru agar umat Islam sentiasa berazam menjadikan sunnah Nabi SAW sebagai panduan utama dalam kehidupan diri, keluarga, dan masyarakat.







