Gerhana Bulan: Tanda Kekuasaan Allah dan Peringatan untuk Hamba-Nya

Gerhana Bulan: Tanda Kekuasaan Allah dan Peringatan untuk Hamba-Nya
Kangar, 8 September 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengedarkan Teks Khutbah Khas Gerhana Bulan sempena fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada awal pagi 8 September 2025.
 
Khutbah khas tersebut mengingatkan umat Islam agar menzahirkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Fenomena gerhana ini dijelaskan berlaku apabila bulan berada bertentangan dengan bumi sehingga terlindung daripada cahaya matahari, lalu memperlihatkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingannya.
 
Khutbah turut menekankan firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 37 yang melarang manusia daripada menyembah matahari dan bulan, sebaliknya menyeru agar hanya sujud kepada Allah SWT, Pencipta seluruh alam.
 
Sejarah turut disentuh apabila sebahagian masyarakat pada zaman Rasulullah SAW pernah menyangka gerhana berlaku kerana kewafatan putera baginda, Ibrahim. Namun, Rasulullah SAW meluruskan kepercayaan tersebut dengan menegaskan bahawa matahari dan bulan adalah tanda kekuasaan Allah, dan gerhana tidak berlaku kerana hidup atau matinya seseorang. Sebaliknya, umat Islam dianjurkan untuk berdoa dan mendirikan solat sehingga fenomena itu berakhir.
 
Khutbah juga menyeru umat Islam agar mengambil kesempatan ketika berlaku gerhana untuk memperbanyakkan amal soleh, menjauhi maksiat, memperbanyakkan doa, berzikir, bersedekah, serta mendirikan solat sunat gerhana. Antara amalan yang dianjurkan termasuk melihat fenomena ini dengan rasa takut kepada Allah, berdoa, mengeluarkan sedekah, dan mendekatkan diri dengan amal kebaikan.
 
Melalui khutbah khas ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis mengingatkan bahawa kejadian gerhana merupakan tanda kebesaran Allah SWT dan peringatan kepada manusia agar kembali kepada jalan ketaatan serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.
 
Teks penuh Khutbah Khas Gerhana Bulan ini boleh didapati melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis di www.muftiperlis.gov.my.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 617
Semalam 1210
Minggu Ini 4233
Bulan Ini 37925

Keseluruhan 3609493

   Masa Capaian : 1.16 saat    Kemaskini :  27/4/2026