Mencintai Rasulullah SAW

Mencintai Rasulullah SAW

Kangar, 5 September 2025 – Mimbar Jumaat seluruh negeri Perlis hari ini telah menyampaikan khutbah bertajuk “Mencintai Rasulullah SAW” yang menekankan kepentingan menjadikan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai asas keimanan setiap Muslim.

Khutbah menjelaskan bahawa iman seseorang tidak akan sempurna sehingga Rasulullah SAW lebih dicintai daripada keluarga, anak-anak dan seluruh manusia. Kecintaan tersebut tidak cukup hanya dengan lafaz selawat di bibir atau sekadar pengakuan, tetapi mesti dibuktikan melalui ketaatan terhadap ajaran Baginda, pengamalan sunnah, serta kesungguhan meninggalkan segala bentuk bidaah.

Jemaah turut diingatkan bahawa cinta sejati kepada Rasulullah SAW perlu dizahirkan dalam kehidupan seharian melalui ketaatan kepada syariat yang dibawa Baginda, mencontohi akidah yang benar, melaksanakan ibadah sebagaimana Baginda melaksanakannya, meneladani akhlak mulia Baginda serta mendidik diri, keluarga dan masyarakat dengan sunnah Rasulullah SAW. Dengan berpegang kepada prinsip ini, umat Islam akan dapat membina kehidupan yang diberkati serta memperoleh kedudukan mulia di sisi Allah SWT.

Khutbah turut menyeru agar umat Islam tidak mendakwa mencintai Rasulullah SAW hanya dengan kata-kata tetapi mengabaikan ajaran Baginda. Cinta kepada Nabi bukanlah sekadar perasaan atau ritual yang direka, sebaliknya ia harus terserlah melalui amalan nyata yang mencontohi sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan.

Jabatan Mufti Negeri Perlis menegaskan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti diperkukuh dengan penghayatan sunnah Baginda, kerana hanya dengan itu umat Islam dapat membentuk masyarakat yang beriman, berakhlak dan dirahmati Allah SWT.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 801
Semalam 1741
Minggu Ini 4227
Bulan Ini 29391

Keseluruhan 3639431

   Masa Capaian : 0.95 saat    Kemaskini :  19/5/2026