Jabatan Mufti Negeri Perlis Perkukuh Peranan dalam Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis 2026–2030

Jabatan Mufti Negeri Perlis Perkukuh Peranan dalam Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis 2026–2030

KANGAR, 1 Ogos 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyertai Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Bakawali, Kangar, sebagai antara agensi utama yang memainkan peranan strategik dalam membentuk arah tuju pentadbiran Islam negeri.

Majlis penutup muzakarah telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Dalam titah baginda, DYTM Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar institusi-institusi Islam negeri ini mampu berdiri sebagai institusi rujukan nasional dalam tadbir urus Islam moden – bukan sahaja memimpin di peringkat negeri, tetapi turut menyumbang kepada dasar dan model pentadbiran Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Baginda turut menggariskan visi untuk menjadikan institusi-institusi Islam negeri ini sebagai institusi bertaraf dunia yang mewujudkan ekosistem Islam yang adil, inklusif dan progresif, yang berakar pada nilai tradisi tetapi berpandangan jauh ke hadapan.

Sebagai antara institusi teras dalam pentadbiran Islam negeri, Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyumbang secara langsung dalam sesi-sesi perbincangan yang merangkumi aspek pengukuhan fatwa yang sahih dan responsif, pembangunan sistem fatwa berasaskan kecerdasan buatan (AI), penyelidikan falak yang lebih menyeluruh serta penghasilan kandungan dakwah digital yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Fokus turut diberikan kepada pembangunan e-jurnal Muntaqa Perlis: Journal of Islamic Studies, pengukuhan aktiviti dakwah lapangan serta peluasan dakwah kepada bukan Muslim menerusi dialog antara budaya yang dilaksanakan menerusi peranan Unit Isnad dan Perlis Center of Wisdom (PCW), masing-masing dengan pendekatan khusus terhadap komuniti Muslim dan bukan Muslim.

Keterlibatan ini memperkukuh peranan Jabatan Mufti Negeri Perlis sebagai peneraju dalam bidang ilmu, fatwa dan dakwah yang berteraskan hikmah dan pendekatan sunnah.

Menambah makna kepada majlis berkenaan, turut diadakan acara meraikan Ulang Tahun Ke-25 Pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, sebagai Raja Muda Perlis.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1812
Semalam 2142
Minggu Ini 16906
Bulan Ini 56904

Keseluruhan 3666944

   Masa Capaian : 1.02 saat    Kemaskini :  29/5/2026