Lawatan Dakwah DYTM Raja Muda Perlis Ke Rwanda Disertai SS Mufti Negeri Perlis
KIGALI, RWANDA — Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, kini berada di Republik Rwanda mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dalam rangka lawatan dakwah rasmi ke negara Afrika Timur itu.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, bersama beberapa pegawai kanan lain dari Negeri Perlis.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh ukhuwwah Islamiyyah sejagat dan meneroka potensi kerjasama dalam bidang dakwah, pendidikan dan kebajikan antara komuniti Muslim Perlis dan Rwanda.
Sepanjang berada di Kigali, delegasi Negeri Perlis telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Mufti Besar Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya, serta barisan Jawatankuasa Fatwa negara itu, dalam usaha bertukar pandangan mengenai perkembangan dakwah serta cabaran semasa umat Islam.
Delegasi turut berkesempatan meninjau beberapa sekolah agama dan pusat pendidikan Islam yang berpotensi untuk dibantu dari aspek fizikal dan pembangunan kapasiti. Selain itu, rombongan juga melawat Islamic Centre Kigali, sebuah institusi penting yang menjadi pusat aktiviti keagamaan dan komuniti Muslim di ibu kota Rwanda itu.
Menurut SS Dato’ Mufti Negeri Perlis, lawatan ini merupakan usaha kecil namun signifikan untuk menghidupkan kembali semangat persaudaraan Islam yang kian pudar di pelbagai belahan dunia.







