Bual Bicara : “Wanita & Keteladanan Khadijah”
Kangar, 26 Jun 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta PUSPANITA Negeri Perlis telah berjaya menganjurkan program Bual Bicara: “Wanita & Keteladanan Khadijah” yang bertempat di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, JAIPs, Kangar.
Program Bual Bicara ini merupakan salah satu daripada siri program pembangunan wanita yang bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta, khususnya wanita, mengenai ibrah (pengajaran) daripada kehidupan para isteri Baginda Rasulullah SAW, khususnya Sayidatina Khadijah RA.
Menurut Setiausaha Biro Agama PUSPANITA Negeri Perlis, Ustazah Norfaezah binti Hassan, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan para wanita meneladani sunnah-sunnah kehidupan para isteri Nabi SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka.
Slot utama Bual Bicara ini telah disampaikan oleh YBhg. Ustazah Mariyah binti Ishak, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), manakala sesi turut diserikan dengan pengisian khas oleh Ustaz Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.
Program Bual Bicara Wanita ini akan diteruskan secara bersiri dan diharapkan dapat memberi kefahaman serta kesedaran kepada kaum wanita agar sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan menjadikan keteladanan para isteri Nabi sebagai panduan hidup dalam mendepani cabaran semasa.







