Amalan Sunnah Di Bulan Ramadan

Amalan Sunnah Di Bulan Ramadan

Kangar, 20 Februari 2026 – Umat Islam di Negeri Perlis hari ini diseru agar menghidupkan dan memperbanyakkan amalan sunnah sepanjang bulan Ramadan bagi menyempurnakan ibadah puasa serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam khutbah Jumaat bertajuk “Amalan Sunnah di Bulan Ramadan” yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis bersempena 2 Ramadan 1447H, khatib menegaskan bahawa sunnah Rasulullah SAW bukan sekadar amalan tambahan, sebaliknya menjadi pelengkap dan penyempurna kepada ibadah wajib.

Menurut khutbah tersebut, mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW merupakan bukti kecintaan kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 yang menyeru umat Islam agar mencontohi Rasulullah SAW untuk meraih kasih sayang dan keampunan Allah.

Antara sunnah utama yang ditekankan ialah menghidupkan malam Ramadan dengan qiyamullail termasuk solat tarawih dan witir secara berjemaah. 

Selain itu, umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana Ramadan merupakan bulan turunnya wahyu. Amalan tadarus yang dicontohkan Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril setiap malam Ramadan menjadi panduan agar umat Islam bukan sahaja membaca, bahkan memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

Khutbah turut menekankan kepentingan bersedekah dan memberi makan kepada orang berbuka puasa. Rasulullah SAW digambarkan sebagai insan paling pemurah, dan sifat tersebut semakin terserlah pada bulan Ramadan. Ganjaran memberi makan kepada orang berpuasa juga disebut menyamai pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahalanya.

Di samping itu, umat Islam diingatkan supaya mengamalkan sunnah berbuka puasa dengan kurma atau air serta tidak membazir ketika menyediakan juadah berbuka. Kesederhanaan dan keutamaan mendahulukan ibadah berbanding kehendak nafsu menjadi antara hikmah yang ditekankan.

Khutbah juga mengingatkan bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menjadi perisai daripada perbuatan sia-sia, kata-kata kesat dan maksiat. Puasa dan al-Quran, menurut hadis Nabi SAW, akan menjadi pemberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat kelak bagi mereka yang benar-benar mengamalkannya dengan ikhlas.

Secara keseluruhannya, khutbah menegaskan bahawa Ramadan adalah madrasah tarbiah yang mendidik jiwa melalui penyempurnaan ibadah wajib dan penghayatan sunnah, agar umat Islam keluar daripadanya sebagai insan yang lebih bertakwa dan berakhlak mulia.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 736
Semalam 1079
Minggu Ini 3190
Bulan Ini 10050

Keseluruhan 3581618

   Masa Capaian : 1.14 saat    Kemaskini :  03/4/2026