• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Benarkah al-Quran Menolak Bumi Ini Bulat?

IRSYAD HUKUM SIRI 5 

BENARKAH AL-QURAN MENOLAK BUMI INI BULAT?

 

Soalan:

Benarkah al-Quran menolak bumi ini bulat?

Jawapan:

  1. Al-Quran tidak pernah menolak bentuk bumi ini bulat bahkan al-Quranmensabitkannya bentuk bumi yang kebulatan.
  1. Cumanya, ketika al-Quran berbicara dengan manusia pada nisbah mereka berada di dunia, al-Quran akan menggunakan ungkapan yang boleh difahamioleh manusia berdasarkan apa yang jelas pada pemerhatian mereka di dunia. Seperti contoh firman Allah SWT:

أَفَلا يَنظُرُونَ إِلَى الإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ، وَإِلَى السَّمَاء كَيْفَ رُفِعَتْ، وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ، وَإِلَى الأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?” (al-Ghathiah: 17 – 21)

Ayat seperti ini berbicara kepada manusia menurut apa yang mereka dapat lihat dari kedudukan mereka di bumi. Menurut pemerhatian manusia dari arah bumi, jelas kelihatan bumi itu suatu yang terhampar dan terbentang luas di hadapannya.

  1. Bentuk bumi yang bulat hanya dapat diperhatikan jika manusia berada di ruang angkasa dan melihat ke bumi. Justeru, ketika al-Quran berbicara berkaitan alam keseluruhannya gambaran itu disebutkan seperti ayat berikut:

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِالْحَقِّ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لأَجَلٍ مُسَمًّى أَلا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ

Maksudnya:“Dia (Allah) telah menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia yang menggulungkan malam atas (menggantikan) siang dan menggulungkan siang atas (menggantikan) malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berlegar menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”(al-Zumar: 5)

Perhatikan ungkapan yukawwiryang diterjemahkan sebagai menggulungkan di dalam ayat ini. Ia jelas mengisyaratkan bumi ini berbentuk kebulatan. Kerana tiada sesuatu yang boleh digulung di atasnya melainkan ia berbentuk kebulatan. Penggunaan perkataan kawwara – yukawwirudalam bahasa Arab antara kegunaannya seperti كّوَّرَ العَمَامَة yang merujuk perbuatan membelit atau menggulung serban di atas kepala. Kata Ibn ‘Uthaimin RH:

“Bumi itu berbentuk kebulatan dengan petunjuk-petunjuk al-Quran, realiti dan perkataan ulama. Adapun petunjuk al-Quran, firman Allah Taala: يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ(yang bermaksud) Dia (Allah) telah menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; “Dia yang menggulungkan malam atas (menggantikan) siang dan menggulung siang atas (menggantikan) malam…” di mana (kalimah) al-Takwir ialah “menjadikan sesuatu seperti bergulung” seperti perkataan: كور العمامة yang bermaksud “menggulungkan serban (di atas kepala)”. Satu perkara yang sedia dimaklumi iaitulah malam dan siang itu silih berganti ke atas bumi ini. Ini menunjukkan bumi ini berbentuk kebulatan, kerana jika anda menggulungkan sesuatu di atas sesuatu yang lain. Maka bumi itulah yang digulung di atasnya (waktu malam dan siang), maka wajib bumi yang digulung di atasnya (malam dan siang) berbentuk kebulatan… para ulama juga berkata: “jika seseorang yang berada di timur meninggal dunia ketika tenggelam matahari. Manakala seorang lagi meninggal dunia ketika matahari terbenam dan dia berada di barat. Mereka berdua pula berada dalam jarak yang jauh. Maka yang meinggal dunia di barat ketika matahari tenggelam mewarisi harta orang yang meninggal dunia di timur ketika matahari terbenam jika mereka berdua adalah saling mewarisi harta (kerana orang yang berada di timur lebih awal melihat matahari tenggelam berbanding yang berada di barat). Ini menunjukkan (para ulama menyedari) bumi ini berbentuk kebulatan. Kalaulah bumi ini berbentuk terhampar semestinya tenggelam matahari dari semua sudut bumi berlaku pada waktu yang sama. Oleh itu tidak mungkin seseorang dapat mengingkari perkara ini ”(Fatwa Nur ‘Ala al-Darb –Masa’ilMutafarriqah Fi al-‘Aqidah. Laman sesawang: https://binothaimeen.net/content/7371, dilihat pada 4 Mac 2021)

Demikian juga pada terjemahan yang berbunyi: “tiap-tiap satu beredar menurut masa yang telah ditetapkan.” (al-Zumar: 5)Dalam ayat lain: وكل في فلك يسبحون”dan setiap satu di falak, semuanya berlegar terapung-apung di tempat edaran masing-masing.”(al-Anbiya: 33) Maka bagaimana bumi ini bergerak jika ia terhampar dan bukan bulat?

Selain itu, bentuk bumi yang bulat dapat dibuktikan lagi dari penggunaan kalimah dalam bentuk plural bagi mengisyaratkan arah. Seperti firman Allah SWT:

رب المشارق والمغارب

Maksudnya: “Tuhan kepada semua arah timur dan semua arah barat.” (Nuh: 40)

Di mana berbilang arah barat dan timur ini tidak terhasil melainkan terhadap sesuatu yang berbentuk bulat bukan mendatar.

  1. Nabi SAW menggunakan ungkapan “tergelincir matahari” ketika menerangkan waktu solat Zohor. Di mana tidak dikatakan tergelincir melainkan iaberupa isyarat kepada adanya perubahan kedudukan dari bumi yang terbit menuju ke atas, kemudian turun atau tergelincir.Ini menunjukkan bentuk bumi yang sfera bukan mendatar. Baginda SAW bersabda:

فصلى بي الظهرَ حين زالت الشمسُ

Maksudnya: “Dan Jibril mengimamkan aku solat Zohor ketika tergelincir matahari.(Riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin ‘Abbas RA. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih AbiDaud)

 

PENYAKSIAN DARI ULAMA TENTANG BENTUK BUMI YANG SFERA

 

  1. IbnHazm RH (W456H/1064M) di dalam kitabnya al-Fasl Fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal2/78 berkata:

قالوا إن البراهين قد صحت بأن الأرض كروية، والعامة تقول غير ذلك.. وجوابنا وبالله تعالى التوفيق: إن أحدًا من أئمة المسلمين المستحقين لاسم الإمامة بالعلم رضي الله عنهم لم ينكروا تكوير الأرض، ولا يُحفظ لأحد منهم في دفعه كلمةٌ.. بل البراهين من القرآن والسنة قد جاءت بتكويرها

Maksudnya: “Para ulama telah menyatakan bahawa bukti-bukti yang sahih menunjukkan bumi ini berbentuk kebulatan. Manakala orang awam mengatakan sebaliknya… Jawapan kami - dengan mengharapkan taufiq dari Allah Taala - bahawa tiada seorangpun dari kalangan imam umat Islam yang berhak dijadikan ikutan dalam ilmu RA mengingkari Takwir al-Ardh (pusingan malam dan siang menggulungkan bumi silih bergantian). Tidak diketahui satu kalimahpun berupa bantahan dari seorang dari kalangan mereka. Bahkan bukti-bukti dari al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan kebulatannya…”

  1. Ketika menafsirkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ra’d: 3):

وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ

Maksudnya: “Dialah tuhan yang membentang bumi…”

Kata Fakhr al-Din al-Razi RH (W606H) di dalam Mafatih al-Ghaib:

قال أبو بكر الأصم: المدُّ هو البسط إلى ما لا يدرك منتهاه، فقوله: "وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ" يُشعر بأنه– تعالى- جعل حجم الأرض حجمًا عظيمًا لا يقع البصر على منتهاه؛ لأن الأرض لو كانت أصغر حجما مما هي الآن عليه لما كمل الانتفاع بها... والكرة إذا كانت في غاية الكبر، كان كل قطعة منها تشاهد كالسطح

Maksudnya: “Kata Abu Bakr al-Asam (W201H), (ungkapan) al-Madd adalah al-Bast (hamparan) yang tidak diketahui atau diketemui penghujungnya. Firman-Nya: “Dialah tuhan yang membentang bumi…” boleh difahami bahawa Dia (Allah) telah menjadikan bumi ini dengan saiz yang besar sehingga mata tidak dapat melihat penghujungnya. Ini kerana sekiranya bumi ini bersaiz kecil berbanding apa yang sedia ada sekarang, tidak dapatlah memaksimumkan diambil manfaat dengannya. Dan bentuk bumi yang bulat apabila ia benar-benar bersaiz besar, maka setiap sudut bumi dilihat seperti terhampar.”(al-Razi, Mafatih al-Ghaib 19/3, cetakan pertama 1401H/1981M, Dar al-Fikr, Beirut)

  1. IbnTaimiyyah RH (W728H) di dalam Majmu’ al-fatawa25/195 berkata:

وأجمعوا على أن الأرض بجميع حركاتها من البر والبحر مثل الكرة ويدل عليه أن الشمس والقمر والكواكب لا يوجد طلوعها وغروبها على جميع من في نواحي الأرض في وقت واحد بل على المشرق قبل المغرب

Maksudnya: “Dan para ulama telah bersepakat bahawa bumi dengan seluruh pergerakannya terdiri dari daratan dan lautan adalah seperti bulat. Buktinya ialah matahari, bulan dan bintang-bintang tidak timbul dan tenggelam di seluruh penjuru bumi yang berbeza pada satu waktu, bahkan semuanya bermula dari timur sebelum barat.”

Kesimpulan

Anggapan sebahagian umat Islam yang mengatakan bumi ini leper dan rata adalah salah dan tidak berpandukan kepada huraian yang benar. Hal ini kerana dalil-dalil agama tidak pernah menafikan bumi ini bulat, bahkan menyokong bumi ini berbentuk kebulatan atau sfera.

Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis

            

 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 667
Semalam 982
Minggu Ini 2739
Bulan Ini 20635

Keseluruhan 3092928

   Masa Capaian : 0.85 saat    Kemaskini :  09/12/2024