Doa Dengan Bahasa Selain Arab Di Dalam Solat
Soalan:
Saya mendengar Dato’ Mufti, Dr. Rozaimi dan Dr. Kamilin menyatakan boleh melafazkan doa dalam solat dengan bahasa Melayu. Adakah ulama lain yang memberi pandangan yang sama? Terima kasih, Jabatan Mufti Perlis.
Jawapan:
Berdoa dengan bahasa selain Arab di dalam solat fardhu dan solat sunat dibolehkan, terutama bagi mereka yang tidak mampu berbahasa Arab. Namun bagi mereka yang mampu, digalakkan berdoa dalam bahasa Arab.
Berdoa dengan bahasa yang dapat difahami oleh orang yang berdoa, yang lebih dapat mendatangkan khusu’ dan meruntun hati agar merasai kehambaan adalah lebih utama berbanding berdoa dengan bahasa Arab dalam keadaan tidak memahaminya dan tidak dapat menghayatinya. Ini kerana tujuan utama berdoa adalah menzahirkan harapan penuh dan kerendahan diri kepada Allah, bukan hanya sekadar menuturkan lafaznya.
Di bawah ini disertakan huraian dari fatawa oleh al-Syeikh Dr. ‘Ali Muhyuddin al-Qurrah Daghi Hafizahullah dalam persoalan yang berkaitan, beliau menulis:
Telah sampai kepada saya beberapa soalan dari pelbagai negara mengenai beberapa isu, antaranya: Adakah boleh membaca doa dalam bahasa Inggeris? Adakah boleh berdoa dengan selain bahasa Arab dalam solat fardu dan solat sunat?
Jawapannya kami dahulukan dengan menyebut nama Allah, dan kepada-Nya kita memohon taufik:
Tidak diragukan lagi bahawa yang paling utama dan terbaik dalam berdoa ialah memilih doa-doa yang disebutkan dalam al-Quran, sama ada doa-doa para nabi atau selain mereka, atau doa-doa yang disebutkan dalam al-Quran tanpa disandarkan kepada seseorang, seperti doa dalam ayat terakhir surah al-Baqarah. Kemudian, yang terbaik selepas itu adalah doa-doa yang diriwayatkan dalam sunnah Nabi yang sahih.
Adapun doa-doa lain yang baik (iaitu doa yang tidak mengandungi dosa atau pemutusan silaturahim), selain yang ma’thur dari Nabi SAW, sama ada dalam solat atau di luar solat, ia adalah dibolehkan menurut majoriti ulama. Ini kerana Allah Ta'ala memerintahkan berdoa secara umum, dan Dialah yang menciptakan pelbagai bahasa, serta Dialah yang Maha Mengetahui akan bahasa-bahasa tersebut dan maksudnya. Sebagaimana firman-Nya:
ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir: 60)
Begitu juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih-nya (hadis no. 835), Muslim dalam Sahih-nya (hadis no. 402), Ibn Hibban dalam Sahih-nya (hadis no. 1955), dan lainnya, daripada Ibn Mas'ud r.a., bahawa beliau berkata:
كنا إذا كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم في صلاة، قلنا: السلام على الله من عباده، السلام على فلان، وفلان، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا تقولوا: السلام على الله، فإن الله هو السلام، ولكن قولوا: "التحيات لله، والصلوات، والطيبات، السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته، السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين" - فإنكم إذا قلتم ذلك أصاب كلّ عبد في السماء، أو بين السماء والأرض - أشهد أن لا إله إلا الله، وأشهد أن محمد عبده ورسوله" ثم يتخير من الدعاء أعجبه إليه فيدعوه
"Dahulunya apabila kami bersama Nabi ﷺ dalam solat, kami berkata: “Salam kepada Allah daripada para hamba-Nya, salam kepada si fulan dan si fulan.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Jangan kamu katakan: “Salam kepada Allah”, kerana Allah adalah As-Salam, tetapi katakanlah: “Segala penghormatan, segala solah, dan segala kebaikan hanyalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dan rahmat Allah serta keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas para hamba Allah yang soleh." Kerana apabila kamu mengucapkan itu, ucapanmu itu sampai kepada setiap hamba Allah di langit dan di bumi. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya." Kemudian Baginda ﷺ bersabda: "Selepas itu, seseorang boleh memilih mana-mana doa yang paling disukainya lalu berdoa dengannya."
Hadis sahih ini dengan jelas menunjukkan bahawa seseorang yang sedang bersolat, selepas membaca tasyahud, boleh memilih mana-mana doa yang dia sukai untuk kebaikan agamanya, dunianya, dan akhiratnya. Pandangan ini turut dipegang oleh sekumpulan ulama. Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa (22/477) berkata:
الدعاء عندهم أوسع وهذا هو الصواب ؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال : (ثم يتخير من الدعاء أعجبه إليه) ولم يوقت في دعاء الجنازة شيئاً، ولم يوقت لأصحابه دعاءً معيناً، كما وقت لهم الذكر، فكيف يقيد ما أطلقه الرسول صلى الله عليه وسلم من الدعاء
"Pandangan yang benar ialah ruang berdoa itu adalah lebih luas, kerana Nabi ﷺ bersabda: “Kemudian (setelah membaca tasyahhud) dia boleh memilih mana-mana doa yang dia sukainya.” Baginda tidak menentukan doa tertentu untuk solat jenazah, begitu juga tidak menentukan doa tertentu untuk sahabat-sahabatnya sebagaimana Baginda menentukan zikir tertentu kepada mereka. Maka bagaimana mungkin doa yang Nabi ﷺ bebaskan menjadi sesuatu yang terikat?”
Berdasarkan ini, doa yang baik, sekalipun bukan dari yang ma’thur (yang diriwayatkan dari Nabi SAW), adalah dibolehkan menurut pendapat yang sahih, malah ia lebih hampir kepada kebenaran. Adapun berdoa dengan selain bahasa Arab bagi mereka yang mampu berbahasa Arab dalam solat fardu dan solat sunat adalah perkara yang menjadi perselisihan pendapat dalam kalangan fuqaha. Sebahagian mereka mengharamkannya, sebahagian memakruhkannya, dan sebahagian lagi mengharuskannya.
Pandangan yang Rajih
Jika doa itu termasuk dalam doa-doa wajib (seperti dalam tahiyyat dan seumpamanya), maka tidak boleh bagi orang yang mampu melafazkannya sebagaimana yang diriwayatkan (dalam bahasa Arab) untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa lain. Dia mesti melafazkannya sebagaimana yang ada dalam riwayat. Adapun, jika doa itu bukan daripada doa wajib, seperti doa-doa ma’thur dalam sujud atau selepas tasyahud yang wajib, maka yang utama (al-Afdhal) dan terbaik (al-Awla) adalah melafazkannya sebagaimana yang ada dalam riwayat. Menterjemahkannya (ke bahasa lain) untuk dibaca dalam solat fardu adalah makruh. Adapun doa-doa lain yang bukan dari doa-doa yang wajib, dalam solat sunat, seperti Qiyamullail, maka boleh di dalamnya (solat sunat) untuk berdoa dalam bahasanya sendiri (sekalipun bukan bahasa ‘Arab), kerana ia lebih memudahkan, lebih mendatangkan khusyuk, dan lebih menyentuh hati, membawa kejinakan hari serta rasa kehambaan.
Bagi orang yang tidak mampu melafazkan doa-doa yang wajib seperti yang diriwayatkan, maka pandangan yang rajih adalah boleh untuk menterjemahkannya dan berdoa dengan bahasa terjemahan tersebut, tetapi dia mesti berusaha untuk mempelajari dan melafazkannya dalam bahasa asalnya (bahasa Arab). Ibn Abdul Barr menyatakan dalam al-Tamhid (1/141):
. .بخلاف العاجز فإنه يجوز على الأصح
“..Berbeza bagi mereka yang tidak mampu (dengan bahasa Arab), maka dibolehkan menurut pendapat yang lebih sahih.”
Telah berkata Abu Yusuf, Muhammad, al-Syafii, Ahmad dalam satu riwayat, dan sebahagian ulama Maliki dalam salah satu qaul:
أنه يجوز ترجمة الأذكار الواجبة للعاجز غير القادر على النطق بها كما ورد
“Bahawa boleh terjemahan zikir-zikir wajib bagi mereka yang tidak mampu melafazkannya sebagaimana asalnya (dengan bahasa Arab).”
Al-Zarkashi menyebut dalam al-Manthur (1/282):
ما يمتنع في الأصح للقادر دون العاجز كالأذان وتكبير الإحرام، والتشهد يصح بغير العربية إن لم يحسن العربية، وإن أحسنها فلا، لما فيه من معنى التعبد، وكذلك الأذكار المندوبة، والأدعية المأثورة في الصلاة، وكذلك السلام وخطبة الجمعة
"Apa yang dilarang bagi orang yang mampu adalah dibolehkan bagi yang tidak mampu, seperti azan, takbiratul ihram, dan tasyahud. Ia sah jika diucapkan selain dalam bahasa Arab bagi orang yang tidak mampu berbahasa Arab, tetapi tidak sah bagi mereka yang mampu berbahasa Arab, kerana ciri-ciri ibadah yang ada padanya. Begitu juga zikir-zikir sunat dan doa-doa yang ma’thur dalam solat, termasuk salam dan khutbah Jumaat.”
Kami ada perhatikan, dalam ibadah haji, sebahagian bukan Arab membaca doa-doa tanpa memahami maknanya, yang kadang kala membawa kepada kesalahan besar tanpa sengaja. Maka bagi mereka, lebih baik berdoa dalam bahasa yang mereka fahami, kerana tujuan doa adalah tadharru' (pengharapan dan merendahkan diri), bukan sekadar melafazkan.
Pandangan yang rajih bagi Khutbah Jumaat
Jika khatib berkhutbah di hadapan jemaah yang memahami bahasa Arab, khutbah mesti disampaikan dalam bahasa Arab. Namun, jika kebanyakan jemaah tidak memahami bahasa Arab, khatib boleh berpada dengan menyebut ayat-ayat al-Quran dan rukun-rukun asas untuk dua khutbah dalam bahasa Arab, manakala selebihnya boleh disampaikan dalam bahasa yang difahami oleh majoriti jemaah, kerana tujuan khutbah adalah untuk memberi nasihat, bimbingan dan panduan, dan ia bukan ibadah dengan lafaz-lafaz tertentu.
Kesimpulan
Dibolehkan berdoa dalam bahasa selain Arab bagi mereka yang tidak mampu berbahasa Arab, baik dalam solat fardu, solat sunat, mahupun di luar solat dan ia lebih utama. Ini adalah pendapat dua orang sahabat Abu Hanifah iaitulah Abu Yusuf dan Muhammad. Ini juga pandangan sebahagian ulama Maliki, pendapat al-Sahih dari kalangan ulama pada mazhab Syafi‘e, dan satu qaul daripada ulama mazhab Hanbali. Mereka berdalilkan antaranya dengan firman Allah:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah semampu kamu.” (Surah al-Taghabun: 16)
Maka doa ma’thur yang wajib dalam solat wajib diterjemahkan bagi mereka yang tidak mampu, sunat diterjemahkan bagi doa yang sunat. Mereka juga wajib berusaha mempelajari doa-doa wajib tersebut menurut kemampuannya. Bagi orang yang mampu melafazkan doa wajib bagi memenuhi rukun dan syarat solat, tidak dibenarkan untuk menterjemahkannya. Jika dilakukan secara sengaja, solat menjadi batal di sisi majoriti ulama. Terdapat juga pandangan lain daripada Abu Hanifah, ulama mazhab Maliki pada satu qaul, ulama mazhab Syafi‘e pada satu wajah, dan ulama mazhab Hanbali pada satu riwayat yang membolehkan berdoa dalam bahasa selain Arab, walaupun bagi mereka yang mampu. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa semua bahasa adalah daripada Allah, dan risalah-risalah (wahyu-wahyu) Allah diturunkan dalam bahasa kaum masing-masing. Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Ibrahim: 4)
Ibn Taimiyyah berkata:
والدعاء يجوز بالعربية، وبغير العربية، والله سبحانه يعلم قصد الداعي ومراده، وإن لم يقوّم لسانه فإنه يعلم ضجيج الأصوات باختلاف اللغات على تنوّع الحاجات
"Berdoa dibolehkan dalam bahasa Arab atau selainnya. Allah Maha Mengetahui niat dan maksud orang yang berdoa, walaupun lisannya tidak fasih. Dia mengetahui pelbagai suara yang berbeza bahasa dengan pelbagai keperluan mereka.”
Wallahu a'lam bish-shawab.
Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad ﷺ, keluarga, dan para sahabat Baginda.
Ditulis oleh: Dr. Ali Muhyiddin al-Qarah Daghi
Sila rujuk: Hasyiah Ibn Abidin (1/350), Syarh al-Kabir dengan Hasyiah al-Dasuqi (1/233), Al-Majmu' oleh al-Nawawi (3/299-300), Al-Manthur fi al-Qawaid (1/282-283), Kasyaf al-Qina' (2/420-421) dan Majmu' al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah (22/488-489)
(sumber: https://www.iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=8174)