AJARAN KULTUS KOREA: KENAPA MUFTI PERLIS BERSUARA?
(artikel ini disiarkan di FB Dr MAZA Channel pada 14 Disember 2025)

1. Beberapa hari lepas, YB sahabat saya Menteri Dalam Negeri DS Saifuddin Nasution meminta saya berkongsi maklumat tentang gerakan kultus dari Korea yang kelihatan sejumlah ahli politik Malaysia turut hadir dalam majlis-majlis mereka. Kenyataan beliau itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan.
2. Sebenarnya, saya belum pernah membuat kenyataan umum tentang hal itu melainkan satu status di FB bertarikh 3 Disember yang menyatakan:
"Dua hari lepas, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, satu taklimat telah disampaikan tentang Gerakan Kultus yang menggunakan nama Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang. Aliran Kristian yang utama juga tidak mengiktiraf mereka. Ia berasal dari Korea. Gerakan ini aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian tapi berorientasi ajaran menyimpang mereka. Apa yang menimbulkan persoalan, ramai juga ahli parlimen muslim dan orang penting parlimen di negara kita kelihatan aktif dalam menyertai dan membantu gerakan ini. Gambar-gambar mereka juga banyak tersiar bersama dengan gerakan ini sejak bertahun-tahun dan di pelbagai tempat juga negara. Mungkin mereka ada jawapan yang boleh menjustifikasikan keterlibatan mereka. Apapun, ia boleh menimbulkan persoalan kepada banyak pihak".
3. Sejak kenyataan YB Menteri tersebut, banyak media dalam dan luar negara mengeluarkan berita mengenainya. Banyak juga wartawan bertanya, namun saya tidak memberikan respon balas kerana menimbang beberapa isu lain yang sedang saya beri perhatian. Di samping itu saya percaya pihak Cawangan Khas tentu mempunyai maklumat tentang hal ini. Team penyelidik yang membentangkan kepada JK Fatwa Perlis juga telah menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul.
Ketika saya menulis ini, saya dalam perjalanan daripada Dubai ke Abu Dhabi memenuhi undangan Kerajaan Abu Dhabi. Ketika ini saya ada sedikit masa untuk menulis sementara melayan pemandangan antara Dubai ke Abu Dhabi.
Menerima Kepelbagaian
4. Saya tiada isu mengenai kepelbagaian aliran atau agama untuk wujud bersama di negara atau dunia ini. Kepelbagaian atau kerencaman cara fikir, kefahaman dan kepercayaan merupakan satu realiti yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan manusia di dunia ini. Al-Quran menegaskan hakikat ini. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 118
{ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةࣰ وَ ٰحِدَةࣰۖ وَلَا یَزَالُونَ مُخۡتَلِفِینَ }
(Maksudnya) Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih (pendapat)
Dalam Surah Yunus ayat 99 pula, Allah berfirman:
{ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ لَـَٔامَنَ مَن فِی ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِیعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ یَكُونُوا۟ مُؤۡمِنِینَ }
Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah kamu (hendak) memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang yang beriman?
Kepelbagaian VS Kebenaran
5. Mengiktiraf kepelbagaian tidak semestinya bermaksud kita mengiktiraf kebenaran yang terkandung dalam kepelbagaian itu. Namun, setiap pihak yang aman, menyakiti atau berpotensi besar mengancam pihak lain, boleh hidup bersama. Kita tidak membantah hak untuk wujud bersama, sekalipun mungkin kita tidak mengiktiraf dari segi akidah isi kandungan kepercayaan tersebut.
Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 93:
{ وَلَوۡ شَاۤءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةࣰ وَ ٰحِدَةࣰ وَلَـٰكِن یُضِلُّ مَن یَشَاۤءُ وَیَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَلَتُسۡـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ }
(Maksudnya) Dan jika Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Tetapi kamu pasti akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.
Dalam ayat lain Allah menyebut:
{ وَلَوۡ شَاۤءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَهُمۡ أُمَّةࣰ وَ ٰحِدَةࣰ وَلَـٰكِن یُدۡخِلُ مَن یَشَاۤءُ فِی رَحۡمَتِهِۦۚ وَٱلظَّـٰلِمُونَ مَا لَهُم مِّن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ }
[Surah Ash-Shūrā: 8]
(Maksudnya) Dan sekiranya Allah menghendaki, niscaya Dia jadikan mereka satu umat, tetapi Dia memasukkan orang-orang yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya. Dan orang-orang yang zalim tidak ada bagi mereka pelindung dan penolong.
6. Sesiapa yang mengiktiraf kepelbagaian agama bersama dengan kebenaran isi kandungan setiap agama, bererti dia terkeluar dari dataran Akidah Islam. Setiap yang tidak mengiktiraf kebenaran akidah lain selain Islam maka dia berada atas akidah yang benar. Namun, jika dia bertindak mengganggu gugat hak pihak lain untuk wujud bersama, maka dia seorang pelampau.
7. Atas dasar ini, maka tidak menjadi bahan perbalahan jika penganut agama lain mempercayai Islam bukan agama yang benar atau percaya Islam bukan agama Tuhan. Ini kerana, itu hak mereka untuk beragama dan mempercayai apa yang menjadi ajaran agama mereka. Ini selagi mereka tidak mencetuskan ketegangan dan permusuhan terbuka dalam masyarakat muslim.
Kenapa Mempertikaikan Ajaran Berteraskan Kultus?
8. Ajaran yang berteraskan kultus (cult) bermaksud ajaran yang diwujudkan atas kemelampauan dalam mengikut atau memperhambakan diri (extreme devotion) kepada seseorang tokoh tanpa lagi menggunakan akal fikiran yang waras atau dalil-dalil yang benar. Dalam erti kata lain, enggan lagi menilai segala perbuatan dan tindakan tokoh yang diikuti sekalipun akal dan dalil yang lain menunjukkan adanya kesalahan yang jelas. Fungsi akal dicabut, kefahaman terhadap argumentasi, dalil atau fakta yang diketahui dibuang.
9. Tokoh-tokoh yang berusaha supaya diri mereka dikultuskan itu akan mengadakan pelbagai dakwaan tentang kehebatan diri mereka yang kebanyakan dikaitkan dengan unsur ketuhanan atau kerohanian. Ini seperti Tuhan menjelma dalam diri mereka, mereka telah ditabalkan oleh Tuhan, Nabi s.a.w hadir mengangkat ketinggiannya, dia mempunyai keajaiban kurniaan Tuhan yang menunjukkan dia benar dan tidak boleh dipertikaikan. Semua dakwaan itu ke arah meninggikan diri dan memastikan segala tindakannya tidak dipertikaikan.
10. Biasanya mereka ini akan membuat dakwaan-dakwaan yang sukar diukur sejauh mana hal itu berlaku. Ini seperti berlaku peristiwa tertentu yang tiada siapa lihat, dia nampak apa yang orang lain tidak nampak, mimpi yang dia atau orang suruhannya lihat yang mengangkat kedudukan dirinya dan seumpama itu. Kadang-kala mereka mewujudkan keajaiban palsu yang dibuat secara manipulasi, sihir, atau penipuan secara teknikal. Perkara-perkara itu memandulkan akal dan tidak boleh dibuktikan secara fakta, melainkan pengikut yang taksub akan menerima sahaja.
11. Natijah daripada ajaran seperti itu akan melahirkan para pengikut yang sangat taksub dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menzalimi dan memusnahkan pihak lain. Ia mampu menggugat keamanan dan ketenteraman sesebuah negara. Maka, hal ini mesti dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak sampai ke titik di luar kawalan dan ada yang menjadi mangsa.
Sebagai satu nota, saya dilihat di bawah slogan 'Madani' unsur-unsur sebegini bagai mendapat lampu hijau atas nama pengurusan agama. Ia menjadikan saya agak sukar memahami apakah erti 'madani' dalam konteks tersebut.
Apa beza antara ketaatan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan Kultus kepada kepada selain baginda?
12. Ada banyak perbezaan. Seorang mukmin beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w atas keimanan kepada Allah yang mengutuskan baginda dengan ajaran yang benar. Keimanan itu hadir setelah terbukti secara diyakini bahawa al-Quran yang menjadi mukjizat tanpa syak ia daripada Allah. Isi kandungan ajaran baginda pula memenuhi fitrah insan dan akal yang waras. Tiada terdapat sebarang tindakan Nabi Muhammad s.a.w semasa hayat baginda yang bersifat menzalimi pengikut, atau membodohkan akal atau merosakkan fitrah manusia. Bahkan, segala arahan dan tindakan semasa hayat baginda menunjukkan sifat rahmat, kebijaksanaan dan kemuliaan. Tiada unsur kepentingan diri dan mengambil kesempatan ke atas orang lain.
13. Kemudian, salah satu ciri hadis sahih yang diriwayatkan setelah baginda wafat bagi memastikan ia berasal daripada Nabi Muhammad s.a.w, ialah keselarasan dengan al-Quran, hadis-hadis lain yang terbukti sahih dan prinsip-prinsip Islam yang berteraskan keadilan, kewarasan, rahmat dan fitrah insan yang mulia. Hal ini tiada pada selain pada Nabi Muhammad s.a.w.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis
14. Atas niat membendung unsur kultus yang mungkin mencetuskan ketegangan dan tindakan luar kawalan dalam masyarakat majmuk atau memesongkan orang muslim yang terlibat, maka kami meminta pihak Kerajaan memberikan perhatian tentang isu ini. Dalam erti kata menyiasat dan memantau serta mengambil langkah-langkah yang perlu untuk keamanan dan kebaikan negara.
Dr MAZA
Dubai ke Abu Dhabi







