Cabaran Dakwah: Konfrontasi Atau Diplomasi?

CABARAN DAKWAH: KONFRONTASI ATAU DIPLOMASI?

Prof Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

  1. Tujuan dakwah kepada Allah ialah untuk menyampaikan ajaran Allah kepada sasaran dakwah supaya difahami dan diterima. Bagaimana agar mesej dakwah itu difahami dan diterima memerlukan usaha supaya cara atau pendekatan (uslub) yang dipilih itu berkesan (hikmah). Sekalipun hidayah milik Allah, namun kita diperintahkan mencari sebab musabab dalam tindakan kita. Kita hendaklah menjadi penyebab dakwah diterima melalui kesungguhan memilih uslub yang hikmah. Di situ, ditimbang di sisi Allah kadar pahala yang dijanjikan. Tahap kesungguhan itu, menjadi penentu kadar pahala di sisi Allah.
  1. Kemudian, tahap penerimaan terhadap dakwah juga berbeza. Ada yang menerima sepenuhnya lalu beriman dan berjuang untuk agama. Ada yang juga yang sekadar mula faham, tapi masih pasif dalam mengamalkan agama. Ada juga yang berubah dari musuh menjadi tidak bermusuh sekalipun tidak menerima untuk beriman dengan dakwah yang disampaikan.
  1. Kadang-kala kita berinteraksi dengan pihak yang bermusuh dengan dakwah, dan kita pun tidak menjadikan mereka sasaran dakwah tetapi sekadar mengelakkan masalah terhadap dakwah. Ini terutamanya mereka yang melancarkan permusuhan yang boleh mengganggu perjalanan dakwah. Interaksi kita dengan mereka termasuk dalam pengurusan untuk kelangsungan atau kelancaran dakwah.
  1. Persoalannya, apakah pendekatan yang terbaik untuk menghadapi mereka yang bermusuh atau mengganggu dakwah ke jalan Allah. Apakah yang menjadi hikmah itu kita juga bertindak dengan berkonfrontasi ke atas mereka sepanjang masa, atau kita cuba mencari titik diplomasi bagi mengurangkan gangguan mereka terhadap dakwah.
  1. Al-Quran dan al-Sunnah dalam pelbagai ayat mengiktiraf kedua-dua pendekatan, samada konfrontasi ataupun diplomasi. Al-Quran dan al-Sunnah menyebut tentang jihad dengan tangan, lisan dan jantung hati. Kedua-dua sumber agung itu menyebut keperluan keras bertindak termasuk menggunakan senjata, tegas berbahasa dan juga menyebut kaedah diplomasi seperti kata-kata yang lunak, memilih mudarat yang lebih ringan dan bertolak ansur dalam hal-hal yang tidak prinsip. Kesemuanya itu tergantung kepada situasi yang dihadapi oleh pihak yang berdakwah. Dari situ kita memahami makna hikmah, iaitu memilih tindakan yang betul pada sasaran yang betul.
  1. Sekalipun pendekatan konfrontasi itu kadang-kala diperlukan, namun bukanlah dalam semua keadaan kita disuruh untuk berkonfrontasi. Apa yang penting, dakwah menuntut hikmah iaitu pendekatan yang paling berkesan seperti yang al-Quran dalam Surah al-Nahl ayat 125:

Firman Allah:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

(maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

  1. Hikmah bererti mencari pendekatan yang paling sesuai dan paling berkesan. Hal ini pun satu ijtihad yang setiap kita mungkin mempunyai andaian atau jangkaan yang berbeza berkaitan kesan setiap pendekatan dakwah yang diambil dalam konteks yang dia hadapi. Kata al-Sa’di (meninggal 1376H) ketika menafsirkan ayat di atas: “Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).
  1. Dalam mengambil pendekatan samada secara diplomasi atau konfrontasi Nabi Muhammad s.a.w tetap menjaga akhlak yang terpuji. Sekalipun tegas dan keras, baginda tidak menunjukkan sikap yang buruk. Kata Anas bin Malik r.a:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سَبَّابًا وَلاَ فَحَّاشًا وَلاَ لَعَّانً

"Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain". (Riwayat al-Bukhari).

  1. Kita boleh bertegas dan berkonfrontasi jika keadaan menuntut hal itu. Namun kesemua itu dilakukan dengan kesantunan cara dan peradaban yang tinggi. Kita membantah, mengkritik dan bertegas, tetapi tidak mencarut dan melucah. Kita mematah hujah, berdebat, tajam sindiran dan sinis, tetapi tidak memaki dan mengeluarkan kata-kata yang tidak layak untuk insan muslim yang dididik agar berakhlak dalam bergaulan dan perkataan. Debat untuk menzahirkan kebenaran bukanlah dilarang, bahkan disuruh jika perlu -seperti dalam ayat al-Quran tadi-. Namun, caranya hendaklah mewakili sifat Islam yang bertamadun. Ertinya, dalam konfrontasi ada diplomasi.
  1. Dalam masa yang sama, pendekatan diplomasi merupakan salah satu cara yang diajar oleh Islam. Diplomasi walaupun zahirnya macam lebih mudah dibandingkan berkonfrontasi, namun untuk mengurusnya tidaklah mudah. Ia akan membabit perasaan, kemahiran dan terdedah kepada manipulasi. Engagement dengan jalan diplomasi memerlukan kebijaksanaan agar tercapai tujuan dakwah itu, bukan akhirnya menjadi mangsa ketangkasan pihak lain. Bukan mudah, kerana ia bukan sahaja perlu menjaga perasaan pihak yang kita berurusan dengannya tetapi juga para pengikut ataupun Umat Islam itu sendiri. Diplomosi juga jika salah langkah akan membawa kepada kerugian mesej dakwah dan manipulasi pihak lain.
  1. Dalam Sirah Nabi Muhammad s.a.w sendiri ada melakukan pendekatan diplomasi dengan musuh ketika bertindak secara perundingan sekalipun menyebabkan lahir tidak puas hati dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. Dalam Perjanjian Hudaibiyyah, para sahabat Nabi s.a.w yang yang merasai lama ditindas, diperangi, dibunuh, diseksa dan dihalau dari tanahair oleh Quraish Mekah terpaksa melalui pendekatan Nabi s.a.w yang mahu berunding. Majoriti sahabat Nabi s.a.w menganggap perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka juga terpaksa membatalkan hasrat mereka ketika itu yang datang untuk menunai umrah, ditambah terpaksa menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.
  1. Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Tidakkah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukumanNYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah).

يَا ابْنَ الخَطَّابِ، إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ، وَلَنْ يُضَيِّعَنِي اللَّهُ أَبَدًا

Jawab Nabi s.a.w: “Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  1. Namun, sejarah membuktikan bahawa akhirnya, tindakan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu membawa kepada kejayaan demi kejayaan dalam dakwah sehingga Islam tersebar lebih luas dan menguasai Kota Mekah.
  1. Hari ini Islam telah diberikan gambaran yang buruk di media antarabangsa. Usaha bersepadu musuh dan kelemahan sikap sebahagian Umat Islam itu sendiri menjadikan rencana memburuk Islam itu telah berjaya di beberapa peringkat. Islamophobia tersebar dengan meluas. Realiti kini jauh berbeza dari masa yang lepas. Kini, Islam sering disalahertikan oleh banyak pihak. Di samping itu, dalam kalangan yang mengaku muslim itu sendiri ada yang memusuhi dakwah disebabkan kepentingan diri, atau salahfaham atau fanatic dengan kebiasaan diri dan masyarakat sekitarnya.
  1. Dalam menghadapi realiti ini, satu pendekatan yang lebih berkesan dan mungkin ijtihad baru dalam penyampaian dan pelaksanaan hukum-hukum syarak, juga ijtihad semasa dalam pendekatan dakwah perlulah dilakukan. Ini selaras dengan apa yang disebutkan oleh para sarjana, seperti al-Imam Abu ‘Abbas al-Qarafi (meninggal 684H) dalam al-Furuq: “Jangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu. Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau”. (Al-Qarafi, al-Furuq, 1/176. Beirut: ‘Alam al-Kitab).
  1. Dalam menghadapi realiti kehidupan yang berubah, tokoh-tokoh ilmuwan dan pendakwah yang mempunyai kefahaman yang luas telah mengorak langkah mencari pendekatan yang lebih realistik dalam cabaran baru. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) pernah meminta supaya seorang muslim tidak perlu berbeza penampilan zahirnya jika dia berada dalam lindungan penguasaan bukan muslim. Padahal Ibn Taimiyyah itu terkenal sebagai tokoh dalam aliran salafi. Namun beliau tidak sempit seperti sesetengah aliran salafi hari ini. Kata Ibn Taimiyyah: “Sekiranya muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang bukan musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalaman mereka untuk dimaklumkan kepada kaum muslimin mengenainya ataupun menghalang bahaya mereka terhadap kaum muslimin ataupun selainnya yang merupakan tujuan-tujuan yang baik”(Ibn Taimiyyah, Iqtida al-Sirat al-Mustaqim, 154. Kaherah: Dar Ibn Jauzi)
  1. Ertinya, terdapat keadaan yang mana pendekatan konfrontasi berterusan dengan musuh dakwah lebih merugikan dibandingkan pendekatan diplomasi secara perundingan dengan mencari ruang yang boleh untuk kita bertoleransi tanpa menggadaikan prinsip. Dalam keadaan seperti itu, pendekatan diplomasi perlu diutamakan sekalipun kita mungkin tidak memperolehi semua yang kita harapkan. Kaedah-kaedah fekah seperti إذا ضاق الأمر اتسع (Apabila sesuatu dalam keadaan sempit, maka ia menjadi luas), demikian juga kaedah المشقة تجلب التيسير" (Kesukaran membawa kepada kemudahan) dan pelbagai lagi perlu dipraktikkan. Semua kaedah-kaedah ini memberikan nafas dari segi hukum syarak untuk para pendakwah mengambil rukhsah apabila ada desakan keadaan. Pun begitu kesemuanya hendaklah mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh syarak.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 571
Semalam 1073
Minggu Ini 1644
Bulan Ini 35741

Keseluruhan 3415726

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  29/12/2025