• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hadis Musalsal Berjabat Tangan

HADIS MUSALSAL BERJABAT TANGAN

 

Soalan: Prof Dato Dr MAZA, apakah pandangan Dr MAZA mengenai hadis musalsal yang disebarkan ? Dalam hadis itu dikatakan sesiapa yang bersalam dengan beliau maka ada hubungan dengan bersalaman dengan orang yang sebelumnya sehingga Nabi s.a.w. Maka sesiapa sahaja yang bersalaman itu akan masuk syurga.

Jawapan : Semoga Allah mengampuni dosa kita semua dan membaiki kesilapan kita termasuk kesilapan individu yang menyebarkan riwayat palsu ini. Setiap ahli ilmu tidak terlepas dari salah dan silap. Apa yang penting, kita membetulkan kesilapan itu apabila kita mengetahui ia salah ataupun tersilap.

Mengenai hadis musalsal yang ditanya, sebenarnya hal ini pernah ditanya kepada saya sebelum ini. Mungkin ia bangkit semula disebabkan rakaman tokoh berkenaan yang disebarkan mempertahankan riwayat palsu berkenaan. Saya telah menjelaskan seperti berikut

1. Pertama perlu dijelaskan apakah itu hadis musalsal (المسلسل)? Secara umumnya musalsal bermaksud setiap periwayat sesuatu hadis meniru perbuatan seperti mana yang diriwayatkan kepadanya oleh rawi sebelumnya sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Kebanyakan hadis musalsal adalah tidak sahih bahkan palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 848H): “Secara umumnya hadis-hadis musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan perawinya” (rujukan: al-Dhahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, s. 44, Syria: al-Matbu`at al-Islamiyyah (1992)

2. Hadis musalsal yang dimaksudkan itu seperti berikut;

من صافحني أو صافح من صافحني إلى يوم القيامة دخل الجنة

Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga hari kiamat maka dia masuk syurga”.

Hadis palsu ini dikenali al-Musalsal bi al-Musafahah  المسلسلة بالمصافحة iaitu hadis musalsal berjabat tangan.

Bagi yang beramal dengan hadis palsu ini mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.

3. Sebenarnya, bantahan terhadap kepalsuan riwayat ini, bukanlah datang dari tokoh-tokoh aliran salafi masa kini seperti yang didakwa oleh pihak tertentu. Ia datang dari ilmuwan hadis silam seperti al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 848H), al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H), al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) dan tokoh di zaman ini seorang ilmuwan rabbani dari aliran asha’irah iaitu al-Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah.

4. Riwayat musalsal palsu tersebut datang melalui jalan al-Mu`ammar المُعَمّر atau dibaca juga dengan al-Ma’mar المَعْمَر. Al-Imam al-Zahabi teragak-agak untuk meletakkan baris dalam menyebut namanya antara al-Mu’ammar dan al-Ma’mar (lihat: Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyat (1992). Beliau ini didakwa kononnya sebagai seorang sahabi yang mengambil hadis ini daripada Nabi s.a.w. Padahal dia tidak pernah tersenarai dalam kalangan sahabah Nabi S.A.W. Tiada siapa pernah meriwayatkan daripadanya pada zaman sahabah dan tabi`in. Dia tidak pernah dikenali melainkan setelah kurun kelima. Dia adalah seorang pendusta atau peribadi yang tidak pernah wujud.

5. Kata al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (w. 852H) dalam Lisan al-Mizan:” Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani, Lisan al-Mizan, 6/ 68. Beirut: Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at (1986)..

6. Para ulama hadis yang sedar kepalsuan hadis ini telah mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan riwayat yang palsu ini. Antara mereka al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah yang kita sebutkan tadi. Beliau merupakan antara murid al-Syeikh Yasin al-Faddani rahimahulLah yang terkenal dalam periwayatan bersanad di zaman mutaakhir yang didakwa oleh sesetengah pihak bahwa beliau rahimahullah turut meriwayatkan musalsal tersebut. Al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam tahqiqnya bagi kitab Zafar al-Amani ظفر الأماني turut menegaskan kepalsuan hadis, katanya: “Hadis musalsal berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asal dan tidak pernah wujud” katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan (hadis ini) ke atas Nabi s.a.w. tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (s. 273, Damsyik: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah (1416H).

7.Al-Syeikh Abu Ghuddah juga memetik fatwa al-Imam al-Sayuti (w. 911H) bila ditanya mengenai hadis Mu`ammar, beliau berkata: “Mu`ammar adalah pendusta lagi dajjal, hadisnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya. Sesiapa yang melakukan demikian (meriwayat hadis palsu tersebut) termasuk dalam sabda Nabi s.a.w: “sesiapa berdusta ke atasku maka siap tempat duduknya dalam neraka. (ibid 275).

 

8. Kandungan hadis palsu seperti ini biasanya digunakan untuk menaikkan seseorang supaya orang lain menganggapnya hebat, berjabat tangan dengannya seperti berjabat tangan dengan Nabi s.a.w. dan akan masuk syurga. Ini adalah satu perkara yang bahaya. Apakah mungkin hanya berjabat dengan sesorang guru sama dengan berjabat tangan dengan Nabi s.a.w. dan masuk syurga?. Para sahabah tidak pernah mendakwa berjabat tangan dengan mereka menyebabkan seseorang masuk syurga. Apatah lagi mereka tidak pernah mengadakan majlis mengambil ijazah berjabat tangan dengan mereka.

 

9. Jika tidak berhati-hati hadis palsu ini akan digunakan untuk mengaut keuntungan dari masyarakat agar orangramai mengagungkan mereka. Seakan-akan mereka adalah pintu bagi syurga. Perkara sepertilah yang menjadi permulaan kepada sikap al-ghulu iaitu berlebih-lebih dalam menghormati guru, atau syeikh.

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 158
Semalam 743
Minggu Ini 901
Bulan Ini 16286

Keseluruhan 3322344

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  17/10/2025