KEMAMPUAN PRESIDAN PARTI MENGATASI MALAIKAT ?!!

 

JIKA ALLAH PERINTAH PUN, MALAIKAT TIDAK MAMPU?!!!

Beberapa pihak bertanya saya tentang ucapan seorang ahli politik yang menyatakan “jika Allah ta’ala memerintahkan malaikat untuk menjadi Presiden .... (nama partinya), malaikat pun lari malam”.

Saya rasa beliau terlepas cakap dan saya harap beliau tidak bermaksud seperti yang diucapkan. Pun begitu saya perlu mengulas ucapan itu supaya tidak ulangi oleh beliau atau pihak yang lain. Di sini saya ingin memberikan beberapa ulasan seperti berikut;

 

1. Adalah tidak sepatutnya mengaitkan malaikat dalam ucapan politik yang seperti itu. Allah menceritakan tentang sifat malaikat dalam Surah al-Tahrim ayat 6:

لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ 

(maksudnya) “mereka (malaikat) itu tidak menderhakai Allah atas apa yang Allah perintahkan mereka, dan melaksanakan apa yang mereka itu diperintahkan”.

Sedangkan ucapan pemimpin politik tersebut menggambarkan malaikat pun akan melarikan diri dari perintah Allah dan tidak akan melaksanakan tugasan yang Allah berikan kepada mereka kerana tidak sanggup memikul bebanan tugasan politik yang tokoh politik berkenaan mampu melaksanakannya dan tidak melarikan diri dari cabaran tersebut.

Ini satu ungkapan yang sangat membimbangkan terhadap pegangan pengucapnya berkaitan dengan hakikat sebenar malaikat yang digambarkan oleh al-Quran.

2. Ucapan itu menggambarkan kesombongan diri yang sangat besar kerana menyatakan diri pengucap tersebut lebih berkemampuan dibandingkan malaikat jika Allah memerintahkan mereka untuk melakukan apa yang beliau sedang lakukan. Ia satu bunyi ucapan yang bernada takabur pada tahap tinggi yang tidak sepatutnya diucapkan. Ia bagaikan satu cabaran kepada Allah bahawa malaikat jika Allah perintah pun tidak berkemampuan seperti beliau.

 

3. Ucapan itu boleh juga difahami, jika malaikat yang Allah pilih untuk melaksanakan tugas kepimpinan parti beliau, maka malaikat pun lari dan gagal. Ertinya, pilihan Allah pun akan gagal, sedangkan beliau tidak gagal. Saya amat berharap, ini bukan maksud beliau. Saya harap perkataan ‘memerintahkan malaikat’ yang beliau menggunakannya itu tidak bermaksud “jika Allah memilih malaikat..”. Apapun, ungkapan beliau sangat bahaya jika bermaksud demikian atau difahami demikian oleh pendengar.

 

4. Ucapan itu jika disambut dengan sokongan pendengar yang mendengarnya, maka pendengar juga menanggung kesalahan jika tidak membantah. Allah berfirman dalam Surah al-An’am ayat 68:

وَإِذَا رَأَيۡتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِيٓ ءَايَٰتِنَا فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦۚ  وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَلَا تَقۡعُدۡ بَعۡدَ ٱلذِّكۡرَىٰ مَعَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّٰلِمِينَ 

(maksudnya) “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Dalam Surah al-Nisa ayat 140 juga memberikan mesej yang hampir sama iaitu jangan duduk mendengar tanpa membantah apabila ayat-ayat Allah dipersendakan.

 

5. Mengenali latar tokoh tersebut, saya secara peribadi percaya bahawa dalam diri beliau mungkin tidak bermaksud untuk mempersendakan ayat Allah, atau meremehkan kedudukan malaikat. Beliau mungkin terlepas cakap dalam suasana yang seperti itu. Demikianlah akibatnya, jika agama dijadikan bahan dalam berpolitik. Maka, saya mencadangkan beliau membetulkan kembali ucapan tersebut. Di samping beliau hendaklah sedikit tawaduk dengan keupayaan dirinya dan pohonlah kekuatan daripada Allah. Jangan dibandingkan dirinya dengan keupayaan malaikat jika Allah memerintahkan mereka. Saya amat bimbang ucapan seperti itu mendatangkan kemurkaan yang besar dari sisi Allah S.W.T. kerana padanya ada kesombongan yang tinggi.

 

6. Setiap kita boleh sahaja tersilap dan tersalah. Apa yang penting kita membetulkan kesalahan itu terutamanya apabila ia menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam.

 

7. Tulisan ini tidak bertujuan politik, tetapi sekadar peringatan. Tiada kaitan dengan parti politik tertentu. Kesilapan seperti itu mungkin terjadi pada sesiapa sahaja terutamanya apabila kita tidak berhati-hati.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 576
Semalam 1073
Minggu Ini 1649
Bulan Ini 35746

Keseluruhan 3415731

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  29/12/2025