KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 61 / 2023
1 FEBRUARI 2023 / 10 REJAB 1444
Bil. 1/61 TAHUN 2023
FATWA BERKAITAN PROGRAM BERBENTUK ALAM MISTIK SEPERTI RUMAH HANTU DAN SEUMPAMANYA
Alam jin atau syaitan memang wujud dengan kehidupan mereka yang tersendiri yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Islam tidak menafikan kewujudan mereka, tetapi meminta supaya kita sentiasa berlindung daripada kejahatan mereka. Kita juga tidak disuruh untuk berlebihan dalam menzahirkan rasa takut kepada kejahatan mereka, sebaliknya kita diajar untuk mengamalkan amalan-amalan soleh sama ada dalam bentuk bacaan atau perbuatan yang dapat melindungi kita dari kejahatan mereka.
Dalam masa yang sama kita juga disuruh untuk mengelakkan daripada unsur khurafat yang menimbulkan kekarutan dalam kepercayaan, sehingga kita mengandaikan sesuatu yang tidak wujud atau memberi mereka satu kuasa melebihi dari apa yang Allah jadikan pada mereka.
Termasuk di dalam khurafat mistik tersebut ialah mempercayai roh orang yang telah mati pulang atau berkeliaran mengganggu orang hidup.
Maka penganjuran atau program Rumah Hantu yang menimbulkan unsur khurafat atau ketakutan yang melampau kepada seseorang atau merendahkan maruah diri atau menyebabkan berlaku tindakan yang tidak sopan atau kemudaratan adalah diharamkan di sisi syarak
Adapun sebarang penganjuran yang memberikan pengetahuan tentang alam jin atau syaitan berasaskan dalil yang benar tanpa khurafat adalah dibenarkan. Tiada halangan dalam penganjuran yang mengandungi unsur yang menghiburkan selagi tidak menimbulkan kepercayaan yang salah
-Tamat -
Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah ProfesorDr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2 / 2023 pada 3 April 2023.