• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Perkahwinan Berbentuk Isteri Menggugurkan Sebahagian Haknya

Perkahwinan Berbentuk Isteri Menggugurkan Sebahagian Haknya

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 61 / 2023

1 FEBRUARI 2023 / 10 REJAB 1444

                                 Bil. 2/61  TAHUN 2023                                

PERKAHWINAN BERBENTUK ISTERI MENGGUGURKAN SEBAHAGIAN HAKNYA

Perkahwinan yang ideal adalah suami menunaikan sepenuhnya tanggungjawab nafkah, tempat tinggal atau adil dalam giliran antara isteri. Inilah perkahwinan yang memenuhi objektif perkahwinan yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam nas-nas syarak.

          Namun jika isteri dengan rela dan tanpa ditipu menggugurkan hak nafkah atau tempat tinggal atau keadilan dalam pembahagian giliran antara isteri, maka pengguguran hak itu (semasa akad atau selepas) adalah sah di sisi syarak seperti yang dilakukan oleh Um al-Mukminin Saudah binti Zam‘ah yang memberikan gilirannya kepada ‘Aisyah r.a.

          Jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita yang bersetuju untuk menggugurkan haknya, sama ada nafkah, tempat tinggal atau giliran antara isteri tanpa sebarang bentuk paksaan atau penipuan dari pihak suami, maka perkahwinan tersebut adalah sah dengan syarat memenuhi rukun-rukun nikah yang ditetapkan.

          Persetujuan pengguguran hak tersebut yang termeterai antara suami dengan isteri merupakan hukum syarak yang terpakai antara mereka di dunia dan di akhirat.

          Ini adalah kerana seseorang muslim mestilah berpegang kepada persetujuan bersama berdasarkan hadis Nabi SAW :

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya : “Orang Islam (terikat) atas syarat-syarat (yang dibuat) mereka”. (HR Abu Daud, Hasan Sahih)

Justeru, pihak isteri yang telah menggugurkan haknya hendaklah berpegang kepada janjinya yang asal berdasarkan dalil-dalil perintah memenuhi janji dan berdosa melanggar perjanjian.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَوۡفُواْ بِٱلۡعُقُودِۚ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (al-Maidah : 1)

وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ

Maksudnya : dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. (al-Baqarah : 177)

Namun jika isteri dengan tiba-tiba berubah pendirian lalu menuntut haknya kembali selepas suatu tempoh tertentu, maka di sisi sebahagian fuqaha membenarkannya, iaitu hak selepas dia mengubah keputusannya bukan sebelumnya. 

Adapun jika hilang persefahaman antara suami isteri dalam menentukan hal tersebut, maka kedua-dua pihak boleh menentukan hala-tuju perkahwinan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

          Bagi mengelakkan pertikaian antara suami isteri, persetujuan pengguguran hak tersebut wajar dibuat secara bertulis atau di hadapan saksi yang boleh dibuktikan. Jenis hak yang digugurkan dan tempoh dalam perjanjian itu jika ada, wajar dicatatkan.

- Tamat -

Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :

  1. YBhg. S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
  2. Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
  3. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
  4. Sahibul Fadhilah ProfesorDr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
  5. Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
  6. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
  7. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
  8. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
  9. Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
  10. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
  11. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
  12. Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
  13. Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha

DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2 / 2023 pada 3 April 2023.

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 54
Semalam 632
Minggu Ini 4467
Bulan Ini 21180

Keseluruhan 3304092

   Masa Capaian : 1.40 saat    Kemaskini :  26/9/2025