• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Program Perkongsian Susu Ibu Di Hospital

 
WhatsApp_Image_2021-12-07_at_14.08.01.jpg
 
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS
KALI KE-31/2017
6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H
 
HUKUM PROGRAM PERKONGSIAN SUSU IBU DI HOSPITAL
 
Para ulama telah berbeza pendapat tentang beberapa perincian berkaitan hukum susuan (radha’ah). Majoriti (Jumhur) berpendapat penyusuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung daripada payudara ibu boleh mensabitkan hubungan mahram susuan.
 
Di samping itu terdapat dalam kalangan ulama yang mensyaratkan susuan itu hendaklah secara langsung daripada payudara ibu susuan. Ini seperti pendapat al-Laith bin Saad, Ibn Hazm dan selain mereka. Pandangan ini juga yang ditarjihkan oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain. Para ulama juga ramai yang menyebut bahawasanya percampuran susu berlainan ibu tidak mensabitkan hukum mahram. Demikian juga para ulama berkhilaf tentang jumlah bilangan susuan yang mensabitkan hukum berkenaan. Majoriti ulama mentarjihkan lima kali susuan yang mengenyangkan.
 

Setelah berbincang pandangan-pandangan di atas dan mengambil kira keperluan dan realiti yang ada dalam memelihara nyawa bayi khususnya bayi pramatang seperti yang telah dibentangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa program perkongsian susu ibu yang dicadangkan oleh KKM adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya cara perlaksanaan program tersebut mengambil kira perkara-perkara berikut:
1. Hendaklah mendapat persetujuan dari kedua-dua  pihak (ibu susuan dan anak susuan), kecuali dalam keadaan darurat.
2. Sekiranya berlaku susuan sebanyak 5 kali kenyang ke atas dari seseorang ibu susuan yang sama dengan rekod yang jelas, maka kedua-dua pihak (ibu susuan dan anak susuan) hendaklah mengetahui antara satu sama lain. Ini  bagi menjaga hukum-hakam yang berkaitan dengan mahram.
 
Jawatankuasa juga ingin memaklumkan bahawa wujudnya keluasan pendapat dalam hal ini di mana para ulama seperti al-Laith bin Saad, Ibn Hazm, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain mensyaratkan susuan itu berlaku secara langsung daripada payudara ibu, maka bagi yang berpegang dengan pendapat ini, dua perkara yang disebutkan di atas tidak menjadi syarat.
 
 
 
 
Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil. 5/2017 pada 10 Ogos 2017
bersamaan 17 Zulkaedah 1438H
 
 
 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 64
Semalam 1090
Minggu Ini 1154
Bulan Ini 19050

Keseluruhan 3091343

   Masa Capaian : 0.95 saat    Kemaskini :  09/12/2024