KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 47 / 2020
24 Ogos 2020 / 5 Muharram 1442
Jabatan Mufti Negeri Perlis
Bil. 1/47 TAHUN 2020
GARIS PANDUAN KHIYAR BAGI TRANSAKSI DALAM TALIAN (ONLINE)
Islam amat menitik beratkan pemeliharaan hak membabitkan semua pihak yang terlibat dalam akad. Oleh itu, peruntukan hak memilih sama ada untuk meneruskan akad, membatalkan atau memindanya jika terdapat pertikaian yang disebut sebagai khiyar diwujudkan untuk pembeli atau penyewa.
Dalam konteks transaksi dalam talian (online), syarak membolehkan beberapa jenis hak memilih bagi pembeli atau penyewa sama ada untuk meneruskan akad, membatalkan atau meminda akad (khiyar) dengan syarat-syaratnya, iaitu hak memilih disebabkan kecacatan (Khiyar al-‘Aib), hak memilih disebabkan perbezaan spesifikasi (Khiyar Khalf al-Wasfi) dan hak memilih setelah melihat barang (Khiyar al-Ru’yah).
- Syarat-syarat bagi hak memilih untuk menerus akad atau membatalkan atau memindanya disebabkan kecacatan barang ialah:
- Tiada syarat daripada penjual yang beliau tidak akan bertanggungjawab terhadap kecacatan pada barang sebelum akad berlaku.
- Kecacatan tersebut memberi kesan terhadap nilai / kualiti barang.
- Kecacatan tersebut bukan disebabkan oleh pembeli atau penyewa. Jika penghantar barang dilantik oleh penjual, maka pihak penjual bertanggungjawab ke atas sebarang kecacatan terhadap barang semasa proses penghantaran. Jika penghantar barang itu dilantik pihak pembeli, pihak pembeli tidak berhak menuntut ganti rugi daripada pihak penjual.
- Pembeli memberitahu serta merta atau dalam tempoh yang dipersetujui (sekiranya ada) kecacatan yang berlaku kepada pihak penjual selepas mengetahuinya melainkan jika ada halangan yang munasabah.
- Pembeli tidak menggunakan barang tersebut setelah mengetahui kecacatannya.
- Syarat-syarat bagi hak memilih untuk menerus akad, membatalkan atau memindanya disebabkan perbezaan spesifikasi ialah :
- Pembeli mendapati barang yang dibeli tidak sama seperti yang diiklankan dalam talian dengan perbezaan yang ketara dan penjual pula tidak menyatakan spesifikasi yang jelas bagi barang tersebut.
- Barang yang sampai kepada pembeli atau penyewa tidak sama seperti barang yang telah dinyatakan oleh pihak penjual atau pemberi sewa.
- Pembeli memberitahu serta merta atau dalam tempoh yang dipersetujui (sekiranya ada) kecacatan yang berlaku kepada pihak penjual selepas mengetahuinya melainkan jika ada halangan yang munasabah.
- Pembeli tidak menggunakan barang tersebut setelah mengetahui perbezaan spesifikasinya.
Jika sekiranya syarat-syarat khiyar dipenuhi, maka pihak pembeli boleh sama ada meneruskan juga akad (menerima keadaan barang seadanya), menukar, membatalkan atau menuntut ganti rugi.
- TAMAT -
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- YBhg. S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi bin Haji Othman
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari Bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin Jamilin @ Ahmad Kamil Jamilin
- Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 3/2020 pada 10 September 2020.