Hukum Forex Trading Online

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA

NEGERI PERLIS KALI KE-24 & 25/2016

20-21 Disember 2016

20-21 Rabiul Awwal 1438H

HUKUM FOREX TRADING ONLINE

Hukum asal pertukaran mata wang dengan mata wang yang lain (الصرف) adalah harus dengan syarat pertukaran atau urusniaga dilakukan dengan serahan milik oleh kedua belah pihak secara tunai dan serta-merta (التقابض).

Adapun perdagangan mata wang secara online melalui platform-platform sama ada tempatan atau luar negara diharamkan sama ada dijalankan oleh individu atau institusi kerana sebab-sebab berikut:

  1. Ketiadaan berlaku serahan milik oleh kedua belah pihak secara tunai dan serta-merta (التقابض) sama ada secara hakiki ataupun hukmi (konstruktif).
  2. Kewujudan unsur riba iaitu pada kemudahan leverage (pinjaman tunai) oleh platform yang mensyaratkan dilakukan perdagangan mata wang dengan caj berbayar hanya dengan platform yang sama. Riba juga berlaku pada overnight charge (caj semalaman) ke atas pinjaman yang tidak dilangsaikan pada hari yang sama.
  3. Kewujudan unsur gharar (ketidaktentuan) iaitu pada identiti penyedia platform, undang-undang yang menyelia pedagangan tersebut serta keabsahan transaksi yang dilakukan.
  4. Kewujudan unsur maisir (judi) yang mendedahkan pihak pedagang kepada peluang untung atau risiko kerugian kerana bergantung kepada spekulasi (ramalan) pergerakan nilai mata wang yang berada di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurusniaga. Ini sama dengan meletakkan wang pertaruhan yang mengakibatkan salah satu pihak mengaut keuntungan atas kerugian pihak lain yang mana untung dan rugi bergantung kepada nasib.

Dengan ini demi untuk mengembalikan kestabilan nilai sesuatu mata wang, perdagangan mata wang bagi tujuan ramalan keuntungan perlu dihentikan bagi mengelakkan mata wang dijadikan komoditi yang mana perkara ini hanya akan lebih menjejaskan sistem fiat money yang sudah sedia lemah dan juga meningkatkan inflasi.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 312
Semalam 1175
Minggu Ini 2744
Bulan Ini 18580

Keseluruhan 3357763

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  12/11/2025