KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-71/2024
6-7 DISEMBER 2024 / 4-5 JAMADIL AKHIR 1446
Bil. 1/71 TAHUN 2024
FATWA PEMINDAHAN ZAKAT (NAQL AL-ZAKAT)
1. Para ulama ulama berbeza pendapat tentang maksud pemindahan zakat (نقل الزکاة) keluar kawasan zakat (al-Mautin al-Zakawi / الموطن الزکوي). Dua pendapat utama dalam hal ini iaitu;
i. Memindahkan zakat keluar daripada kawasan yang melebihi kadar dibolehkan qasar solat (musafir). Ini seperti dari kawasan A ke kawasan B yang melebihi 80 kilometer (dua marhalah) sekalipun kelihatan bersebelahan kawasan dari segi pemetaan.
ii. Memindahkan zakat dari satu iklim ke iklim (rantau) yang lain. Ini seperti daripada Malaysia ke India atau ke China atau Palestin atau ke Yaman atau ke Australia atau ke Afrika. Pendapat ini dinilai oleh Ibn Taimiyyah r.h. lebih mundabit (konsisten) kerana sesuatu iklim (rantau) walaupun luas, namun ia bagaikan sebuah negara yang sama dari sudut keadaan penduduk.
2. Dalam kontek semasa, pendapat yang paling sahih bagi maksud kawasan harta zakat (الموطن الزكوي) ialah merujuk kepada kawasan yang mana harta zakat itu berada iaitu di mana ia dihasilkan, bukan merujuk kepada alamat tinggal pembayar zakat atau di mana pembayar zakat itu berada. Ini bermaksud sekalipun pembayar zakat tinggal di kawasan A, tetapi jika penghasilan harta zakatnya di kawasan B, maka perbincangan ulama tentang pemindahan zakat itu merujuk kepada zakat kawasan B yang dibawa keluar daripada iklimnya, atau keluar ke jarak yang membolehkan qasar solat (musafir).
3. Dalam urusniaga moden dan bersifat global hari ini, penentuan sebahagian tempat penghasilan harta tidak lagi bersifat statik dan klasik seperti dahulu. Kegiatan ekonomi tidak lagi bersifat setempat sebaliknya bersifat global yang boleh diuruskan di mana-mana sahaja. Maka adalah sukar untuk menetapkan mautin zakawi (kawasan harta zakat) dalam konteks sebahagian perniagaan dan harta pada zaman ini.
4. Adapun Zakat Fitrah, ia memang merujuk kepada tempat pembayar zakat itu berada, bukan di mana hartanya dihasilkan. Ini kerana kewajiban Zakat Fitrah berkaitan diri pembayar, bukan tempat di mana harta dihasilkan.
5. Para ulama sepakat bahawa zakat harta boleh dibawa keluar dari kawasannya jika keperluan asnaf kawasan tersebut sudah mencukupi. Bahkan terdapat fuqaha yang mewajibkan ia dibawa keluar jika asnaf zakat kawasan zakat tersebut sudah tidak memerlukan. Namun para ulama berbeza pendapat tentang hukum memindahkan zakat keluar kawasan atau iklim lain sedangkan asnaf dalam kawasan harta zakat tersebut masih memerlukan.
6. Pendapat yang sahih, tidak boleh membawa zakat keluar dari kawasannya, iaitu keluar ke iklim yang lain (seperti pendapat Ibn Taimiyyah r.h. dan mereka yang menyokong pendapat tersebut) atau keluar ke kawasan yang melebihi jarak qasar sekiranya asnaf zakat kawasan berkenaan masih memerlukan. Namun begitu hal ini dibolehkan jika ada alasan yang munasabah.
7. Alasan yang munasabah yang dinyatakan oleh para ulama yang membolehkan zakat keluar dari kawasannya sekalipun masih ada yang memerlukan di kawasan tersebut adalah seperti berikut;
a. Untuk mengutamakan keluarga yang memerlukan zakat yang berada di kawasan lain. Ini kerana ia dapat mengukuhkan silaturrahim.
b. Untuk membantu mereka yang lebih memerlukan yang berada di kawasan lain. Ini seperti mereka yang ditimpa bencana, peperangan dan seumpamanya.
c. Untuk menyalurkan kepada pihak yang lebih bermanfaat ketimbang dengan apa yang ada di kawasan penghasilan harta zakat. Ini seperti keperluan pendakwah, penuntut ilmu dan seumpamanya yang dilihat zakat lebih berfungsi jika diberikan kepada mereka itu sekalipun di luar kawasan zakat.
d. Untuk membantu jihad syar‘ie yang berada di luar kawasan penghasilan harta zakat.
e. Untuk diberikan kepada mereka yang lebih warak dan soleh. Ini seperti pembayar zakat atau amil mendapati di luar kawasan zakat ada orang yang lebih soleh yang mana pemberian zakat kepadanya lebih meningkatkan ketakwaan dibandingkan orang di kawasan zakat.
f. Untuk mengelakkan mudarat harta zakat. Ini seperti jika harta zakat berada di kawasannya akan mudarat disebabkan keadaan yang negatif atau salahguna pihak lain.
g. Untuk membolehkan lebih banyak jenis asnaf memperolehi zakat. Ini seperti jika di kawasan harta penghasilan zakat tidak terdapat asnaf tertentu, sedangkan di luar kawasan penghasilan zakat wujud asnaf berkenaan.
8. Ijtihad memindahkan zakat ke luar kawasan harta zakat itu boleh dibuat oleh pemerintah (Amil yang dilantik) ataupun pembayar zakat itu sendiri. Al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradawi r.h. dalam Fiqh al-Zakah menyebut: “Sekiranya pemerintah boleh berijtihad berkaitan memindahkan zakat dari satu kawasan ke kawasan yang lain, maka demikian juga individu yang diwajibkan zakat ke atasnya boleh memindahkan zakat keluar kawasan atas sesuatu keperluan atau kemaslahatan yang diiktiraf. Ini jika sekiranya dia menguruskan zakatnya sendiri seperti yang berlaku pada masa ini. Ini semua boleh dilakukan atas alasan-alasan yang para ulama Mazhab Hanafi menyebutnya berkaitan pemindahan zakat ke luar kawasan. Ini seperti dipindahkan untuk diberikan kepada kaum kerabat yang memerlukan, atau kepada sesiapa yang lebih memerlukan atau lebih miskin, atau kepada sesiapa yang lebih bermanfaat untuk kaum muslimin dan lebih wajar dibantu, atau kepada sesuatu projek islamik di kawasan lain yang mempunyai kesan yang baik untuk kaum muslimin yang kemungkinan tiada seperti itu di tempat harta zakat berada, atau seumpama semua itu yang mempunyai kelebihan dan kemaslahatan yang melegakan perasaan seorang muslim yang mengambil berat tentang agama dan keredaan Tuhannya”. [Fiqh al-Zakah, 2/820. Beirut: Muassasah al-Risalah (1993)]
9. Di samping alasan-alasan tersebut yang membenarkan pemindahan zakat keluar kawasan penghasilan harta zakat, para ulama juga mensyaratkan hendaklah dipastikan tidak keseluruhan harta zakat dikeluarkan dari kawasannya sehingga tidak berbaki lagi di kawasan tersebut sedangkan terdapat yang masih memerlukan.
10. Zakat yang dipindahkan oleh pembayar zakat kepada asnaf zakat di luar kawasan tanpa alasan-alasan yang diiktiraf itu adalah sah tetapi makruh. Ini merupakan salah satu keputusan Persidangan Kedua Isu-Isu Semasa Zakat di Kuwait pada 13 Zulkaedah 1409H yang menyebut: “Pemindahan zakat keluar kawasannya tanpa keadaan-keadaan yang dinyatakan sebelum ini tidak menghalang keabsahannya tetapi makruh. Ini dengan syarat ia diberikan kepada yang berhak menerima zakat dalam kalangan lapan asnaf zakat.”
11. Pembayaran secara terus oleh pembayar zakat kepada mana-mana asnaf zakat adalah sah. Ini adalah pendapat yang sahih di sisi majoriti ulama. Namun untuk kemaslahatan yang menyeluruh dan penyelarasan, digalakkan zakat diserahkan kepada amil yang dilantik oleh ulil amri.
- TAMAT -
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
- Sahibul Fadhilah K.H Dr Zaitun bin Rasmin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Aidil bin Abdul Rahman
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 1 / 2025 pada 16 Januari 2025.