KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 65 / 2023
16-17 OKTOBER 2023 / 1-2 RABIUL AKHIR 1445
Bil. 4/65 TAHUN 2023
GARIS PANDUAN PENGGUNAAN WANG MASJID DAN SURAU
1. Takrif Wang Masjid/Surau
Wang masjid/surau dalam garis panduan ini merujuk kepada dana masjid/surau yang terkumpul hasil dari pelbagai sumber seperti derma individu atau organisasi ke dalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya.
2. Sumber Wang Masjid/Surau
Secara umumnya, pendapatan wang masjid/surau yang terkumpul diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
2.1 Sumbangan Wakaf iaitu sumbangan orang ramai yang dimasukkan ke dalam akaun bank atau tabung wakaf masjid/surau atau diserahkan kepada pihak masjid/surau yang diamanahkan atau pembelian tapak masjid/surau dalam bentuk kaki persegi oleh pewakaf. Dana wakaf yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masjid/surau berkenaan seperti pembelian tapak masjid/surau, pembinaan, membaikpulih, pembesaran dan sebagainya yang bersangkutan dengan keperluan masjid/surau secara langsung.
2.2 Sumbangan Pengimarahan Masjid dan Kebajikan (Tabung Masjid) iaitu sumbangan orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank masjid/surau atau tabung yang disediakan oleh pihak masjid/surau di mana ia meliputi pelbagai aktiviti pengimarahan masjid/surau, pengurusan pentadbiran, pembaikan kemudahan asas masjid/surau dan sebagainya.
2.3 Sumbangan aktiviti khusus iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank atau tabung masjid/surau yang diwujudkan secara khusus untuk membiayai aktiviti tertentu dan dimaklumkan kepada orang ramai mengenainya seperti pungutan derma untuk Ihya’ Ramadhan dan sebagainya.
2.4 Sumbangan kerajaan dan MAIPs iaitu sumbangan kewangan oleh pihak kerajaan atau MAIPs yang dimasukkan ke dalam akaun masjid/surau tertentu.
2.5 Sumber-sumber lain iaitu wang masjid/surau yang terkumpul hasil daripada aktiviti jualan, kutipan sewa, keuntungan pelaburan dan sebagainya yang diusahakan oleh pihak masjid/surau.
3. Penggunaan Wang Masjid/Surau
3.1 Penggunaan wang sumbangan wakaf yang diperolehi untuk pembangunan masjid.
Sumbangan Wakaf yang diperolehi mestilah digunakan mengikut niat pewakaf seperti pembelian tapak masjid, membina, membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
Sebarang penggunaan yang berbeza dengan maksud asal pewakaf hendaklah dirujuk kepada MAIPs.
3.2 Penggunaan wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau atau institusi tertentu.
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau atau institusi tertentu, maka hendaklah dibelanjakan atau diserahkan untuk manfaat dan maslahat masjid/surau atau institusi yang ditentukan itu. Ia tidak boleh dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau atau institusi lain sebagai menunaikan niat pewakaf berkenaan.
Sebarang penggunaan sumbangan berbeza dengan niat asal pewakaf hendaklah dirujuk kepada MAIPs.
3.3 Penggunaan wang sumbangan pengimarahan dan kebajikan masjid/surau (Tabung Masjid).
Wang yang disumbangkan oleh orang ramai sebagai pengimarahan atau kebajikan kepada sesebuah masjid/surau hendaklah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan mengikut keputusan mesyuarat jawatankuasa masjid. Ini seperti bayaran saguhati tenaga pengajar / petugas yang dilantik untuk bertugas di masjid/surau itu, membayar bil-bil utiliti masjid/surau, penyelenggaraan fasiliti masjid, majlis berbuka puasa untuk ahli Jemaah, sumbangan bantuan kewangan / makanan kepada yang memerlukan, mengadakan jamuan mengikut keperluan dan seumpamanya.
3.4 Penggunaan wang sumbangan yang diperolehi khusus bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
Wang yang disumbangkan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti Program Ihya’ Ramadan, agihan bakul makanan, pengurusan jenazah dan sebagainya hendaklah dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja.
3.5 Pengurusan baki atau lebihan wang sumbangan masjid/surau yang diperolehi bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
Baki atau lebihan wang daripada hasil kutipan sumbangan khusus yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu hendaklah disimpan dan dianjakkan sumbangan tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang.
Namun, perbelanjaan baki atau lebihan sumbangan tersebut juga boleh digunakan untuk aktiviti/majlis pengimarahan dan kebajikan lain yang sepertinya sebagaimana yang telah dimaklumkan kepada penyumbang terlebih dahulu.
3.6 Penggunaan wang masjid/surau sebagai modal perniagaan atau pelaburan untuk menjanakan pendapatan.
Harus menggunakan dana masjid/surau sebagai modal pelaburan dan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan tetapi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
a) Pelaburan hendaklah yang disahkan patuh syari’ah oleh badan pengawasan syari’ah yang berotoriti;
b) Pelaburan hendaklah berisiko rendah dan sederhana dari institusi kewangan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa;
c) Pelaburan berisiko tinggi boleh dibuat dengan mendapat jaminan khas dari pihak berotoriti serta distruktur secara patuh syari’ah;
d) Hasil keuntungan wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan hendaklah dibelanjakan kepada kemaslahatan masjid/surau setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
e) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan atau pun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah; dan
f) Keputusan untuk terlibat dengan sebarang pelaboran hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Masjid dan mendapat kelulusan JAIPs dan MAIPs.
- Tamat –
Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2023 pada 4 Disember 2023.