KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 64 / 2023
28-29 OGOS 2023 / 11-12 SAFAR 1445
Bil. 3/64 TAHUN 2023
GARIS PANDUAN AKTIVITI DALAM MASJID DAN SURAU SERTA KAWASANNYA
Masjid adalah bangunan yang diwakafkan atau dikhaskan secara kekal untuk masyarakat Islam mendirikan solat jemaah lima waktu dan lain-lain ibadah. Mana-mana bangunan yang dibina sekalipun berdekatan atau bersambung dengan masjid atau di dalam kawasan pagar masjid tetapi tidak dikhaskan atau diwakafkan untuk tujuan berjemaah lima waktu dan ibadah tidak dikira sebagai masjid.
- Peraturan Umum Untuk Masjid Dan Surau
i) Secara umumnya Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid tidak boleh mengadakan apa-apa aktiviti yang jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah
ii) Masjid tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti politik kepartian
iii) Masjid hendaklah bebas dari sebarang lambang parti politik sama ada di dalam atau di kawasan masjid
iv) Setiap orang yang memasuki kawasan masjid hendaklah menutup aurat seperti ketetapan syarak
v) Kawasan masjid adalah kawasan larangan merokok
vi) Di dalam dewan masjid tidak boleh diperdengarkan sebarang bunyi muzik.
vii) Tidak boleh dizahirkan pada arah kiblat sebarang gambar manusia atau haiwan ketika solat sedang berlangsung. Ini merangkumi gambar yang statik atau di skrin elektronik.
viii) Setiap orang yang berada dalam kawasan masjid hendaklah beriltizam dengan akhlak Islam
2. Pemilihan Penceramah dan Asatizah
Penceramah dan asatizah yang hendak menyampaikan pengajaran di masjid hendaklah dalam kalangan pemegang tauliah mengajar agama negeri Perlis atau mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.
3. Sifat Penceramah Dan Asatizah
i) Tidak melakukan tindakan atau perbuatan yang menyanggahi akhlak Islam
ii) Tidak menghina peribadi dan membuat tuduhan palsu kepada mana-mana pihak
iii) Tidak mengeluarkan ucapan yang berbaur politik kepartian
iv) Berpakaian sesuai dengan majlis
v) Menepati masa yang telah ditetapkan
vi) Mematuhi dan menghormati dasar dan fatwa Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis
vii) Tidak memberikan maklumat yang salah tentang agama seperti hadis palsu dan pandangan-pandangan yang batil.
4. Aktiviti Tazkirah Tidak Rasmi Di Dalam Masjid
Aktiviti tazkirah tidak rasmi di dalam masjid merujuk kepada sebarang aktiviti yang dilakukan bukan dari anjuran pihak pentadbiran masjid yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perlis. Semua aktiviti berkaitan hendaklah;
i) Tidak mengadakan sebarang aktiviti dalam masjid ketika aktiviti rasmi masjid sedang berlangsung ;
ii) Mendapat keizinan bertulis daripada pengerusi Jawatankuasa Masjid;
iii) Aktiviti hendaklah bersifat santai tanpa menonjolkan pembicara, menggunakan pembesar suara atau seumpamanya;
iv) Aktiviti tidak boleh diumumkan secara terbuka kepada jemaah masjid;
v) Perjalanan aktiviti hendaklah dilakukan di salah satu sudut masjid yang tidak mengganggu jemaah masjid atau mewujudkan rasa tidak selesa kepada jemaah yang mahu kekal duduk di dalam masjid tanpa menyertai majlis tersebut;
vi) Bahan bacaan yang akan digunakan perlu mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu dari Jabatan Mufti Negeri Perlis;
vii) Pembimbing tazkirah hanya membaca bahan yang telah mendapat kelulusan.
viii) Pembimbing tazkirah tidak dibenarkan membuat sebarang ulasan sendiri dari bahan bacaan yang telah mendapat kelulusan.
ix) Bahan bacaan yang diluluskan untuk aktiviti Jemaah Tabligh di seluruh masjid negeri Perlis hanyalah kitab Riyadhu al-Salihin karangan al-Imam al-Nawawi dan al-Ahadith al-Muntakhabah atau Muntakhab Ahadith karangan Maulana Yusuf al-Kandahlawi, atau mana-mana bahan bacaan yang mendapat kebenaran daripada Jabatan Mufti Perlis.
x) Tidak dibenarkan tidur di dalam masjid melainkan di bahagian yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Masjid;
xi) Aktiviti halaqah bacaan al-Quran / tadabbur al-Quran / tadarus hendaklah dilakukan dengan bimbingan imam atau guru al-Quran.
xii) Sebarang majlis khatam al-Quran hendaklah mengikut panduan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
- Tamat -
Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2023 pada 2 Oktober 2023.