KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-70/2024
25 OKTOBER 2024 / 22 RABIUL AKHIR 1446
Bil. 1/70 TAHUN 2024
FATWA BERKAITAN PERNIKAHAN AHLI GISB HOLDINGS SDN. BHD.
A . Pernikahan Ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. Menggunakan Wali Hakim / Wakil Wali (Jika Pernikahan Dipersetujui Oleh Wali Sebenar)
- Wali hakim yang dilantik sendiri oleh pihak GISBH di Malaysia atau mana-mana negara orang Islam adalah bukan wali hakim yang sah. Pernikahan yang menggunakan wali hakim sebegini adalah pernikahan tanpa wali. Hukumnya tidak sah di sisi majoriti ulama.
- Jika pernikahan berlaku di luar negara yang bukan di bawah pemerintahan Islam dan wali perkahwinan itu dilantik oleh organisasi / komuniti umat Islam di negara tersebut, maka wali hakim itu diiktiraf.
- Jika pernikahan berlaku menggunakan wali palsu sedangkan dia bukan wali sebenar, maka pernikahan itu tidak memenuhi rukun nikah. Ini adalah kerana ia bukan wali nasab atau bukan wakil wali nasab yang sebenar.
- Pernikahan tanpa wali yang sah itu adalah fasid (rosak) di sisi majoriti ulama dan wajib diulangi akad pernikahan tersebut dengan wali yang sah.
- Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira pelbagai pandangan para fuqaha, anak yang dilahirkan dalam perkahwinan tersebut boleh disabitkan nasabnya. Dengan itu, ia dapat menjaga kebajikan anak-anak yang terlibat, tanggungjawab ibu bapa, urusan undang-undang dan penerusan hidup yang lebih baik.
B . Pernikahan Ahli Holdings Sdn. Bhd. Dengan Menggunakan Mahar Satu Pusingan Aurad Muhammadiyah.
- Pernikahan yang dijalankan bermaharkan Aurad Muhammadiyah adalah tidak diiktiraf sebagai mahar kerana ia tidak mempunyai nilai di sisi syarak dan di dalamnya mempunyai unsur kesesatan.
- Jika pernikahan itu memenuhi rukun, maka pernikahan tersebut sah, tetapi mahar dengan menggunakan Aurad Muhammadiyyah tidak diiktiraf oleh syarak dan wajib diganti. Ini adalah kerana mahar tidak termasuk dalam rukun nikah.
- Mahar pernikahan itu hendaklah digantikan dengan mahar mithil iaitu mahar setara dengan wanita yang dinikahi tersebut berdasarkan latar isteri dan uruf (kebiasaan) mahar terhadap wanita yang sepertinya ketika akad itu berlaku. Suami wajib membayar mahar tersebut kepada isterinya.
- TAMAT –
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
- Sahibul Fadhilah K.H Dr Zaitun bin Rasmin
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya
- Sahibul Fadhilah Ustaz Aidil bin Abdul Rahman
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2024 pada 14 November 2024.