KANGAR, 17 Februari 2026 – Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Februari 2026, selepas tarikh 1 Ramadan 1447 Hijrah disahkan melalui proses cerapan hilal dan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Di Negeri Perlis, Majlis Rukyah Hilal Awal Ramadan telah dilaksanakan di Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis yang merupakan stesen rasmi cerapan hilal negeri.
Proses cerapan dan pengesahan hilal tersebut telah disaksikan oleh YAB Tuan Abu Bakar Bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, serta Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perlis, serta Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Perlis yang terlibat dalam pelaksanaan cerapan dan analisis data astronomi berkaitan kewujudan hilal berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah.
Jabatan Mufti Negeri Perlis mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam.







