KANGAR 13 Februari 2026– Umat Islam di negeri ini diseru agar membuat persediaan rohani dan jasmani bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal menjelma dalam beberapa hari lagi.
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya medan latihan untuk membentuk ketakwaan, memperbaiki akhlak serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Khutbah bertajuk “Ramadan Bakal Menjelma” itu menekankan bahawa tujuan utama ibadah puasa adalah melahirkan insan bertakwa, selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang mewajibkan puasa ke atas orang beriman.
Selain itu, umat Islam diingatkan supaya menyambut Ramadan dengan ilmu dan persediaan yang betul berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Antara amalan penting yang ditekankan termasuklah niat puasa pada malam hari, bersahur, menyegerakan berbuka serta memperbanyakkan doa khususnya ketika hampir waktu berbuka.
Khutbah turut menjelaskan bahawa Ramadan adalah bulan keampunan, di mana dosa-dosa kecil boleh dihapuskan melalui ibadah puasa dan qiamullail yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
Dalam khutbah kedua, peringatan keras turut diberikan kepada mereka yang sengaja meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur syarie, yang disifatkan sebagai satu dosa besar. Malah, larangan makan, minum dan merokok secara terbuka di tempat awam sebelum waktu berbuka turut ditegaskan, selaras dengan peruntukan undang-undang syariah negeri.
Sehubungan itu, umat Islam diseru agar menjadikan Ramadan kali ini sebagai titik perubahan dalam kehidupan, bukan sekadar rutin tahunan, tetapi peluang memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih taat dan diredai Allah SWT.







