Kangar, 12 Februari 2026 – Pelajar bersama guru pengiring dari Maahad Tahfiz Pondok Air Jernih, Gerik telah mengadakan program Lawatan Sambil Belajar ke Negeri Perlis yang turut diserikan dengan sesi pertemuan bersama Mufti Negeri Perlis.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang serta kelebihan yang dimiliki oleh seorang hafiz al-Quran pada masa hadapan. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan menyemai dan memperkukuh minat pelajar untuk terus mendalami serta mengkaji al-Quran secara lebih menyeluruh.
Kemuncak program ialah sesi pertemuan dan tausiah bersama Mufti Negeri Perlis. Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan keistimewaan golongan huffaz sebagai pewaris al-Quran serta tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam memelihara kesucian dan memastikan kefahaman yang sahih terhadap ajaran Islam.
Beliau turut menggalakkan para pelajar agar tidak mengehadkan diri dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya berusaha menguasai pelbagai bidang profesional dengan menjadikan al-Quran sebagai asas dan panduan dalam kehidupan.
Program seumpama ini amat penting dalam membuka minda pelajar agar lebih jelas dan yakin dengan hala tuju pendidikan tahfiz.
Diharapkan lawatan ini dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan pelajar Maahad Tahfiz Pondok Air Jernih untuk terus berusaha menjadi generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.







