DYMM Raja Perlis Terima Mengadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

DYMM Raja Perlis Terima Mengadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis bersama barisan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di Istana Perlis, Kuala Lumpur, petang tadi.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dalam sesi mengadap yang bermula pada jam 5 petang itu, Mufti Perlis mempersembahkan sembah maklum serta memperkenalkan 14 orang Ashabul Fadhilah Ahli Jawatankuasa Fatwa bagi lantikan tahun 2026. Pertemuan berkenaan bertujuan memohon titah nasihat serta panduan Baginda dalam memastikan peranan jawatankuasa fatwa dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan ummah dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie Perlis, Yang Amat Arif Tuan Jaidi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Puan Maizurah Shamsudin.

DYMM Tuanku Raja Perlis menzahirkan penghargaan atas komitmen serta kesungguhan ahli jawatankuasa dalam melaksanakan amanah menetapkan hukum-hakam semasa. Baginda turut mengingatkan agar usaha mengkaji dan memperhalusi isu-isu kemaslahatan rakyat terus diperkukuh dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, selaras dengan keperluan semasa.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan simbolik sumbangan peruntukan daripada MAIPs berjumlah RM600,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program Jabatan Mufti Negeri Perlis sepanjang tahun ini.

Sebagai penutup, Mufti Negeri Perlis turut mempersembahkan naskhah buku Kompilasi Keputusan Fatwa Negeri Perlis kepada DYMM Tuanku Raja Perlis sebagai tanda penghargaan dan rujukan ilmiah berkaitan keputusan fatwa negeri.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 408
Semalam 2426
Minggu Ini 6261
Bulan Ini 29260

Keseluruhan 3493114

   Masa Capaian : 0.83 saat    Kemaskini :  18/2/2026