Persidangan IMAM Ke-26 Perkukuh Sinergi Fatwa dan Perubatan

Persidangan IMAM Ke-26 Perkukuh Sinergi Fatwa dan Perubatan

KANGAR, 8 Feb –  Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Persidangan Saintifik Tahunan IMAM Ke-26 bertemakan “Fatwa Perubatan: Menangani Cabaran Global, Memenuhi Keperluan Tempatan” di The Putra Regency Hotel, di sini, pada 7 dan 8 Februari 2026.

Persidangan dua hari ini  menghimpunkan pakar perubatan dan ahli akademik bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan fiqh serta fatwa perubatan, termasuk rawatan reproduktif, imunisasi, rawatan ketika Ramadan dan pengurusan akhir hayat, dengan penekanan kepada pendekatan bersepadu antara perubatan dan syariah.

Antara pengisian utama ialah sesi plenari bertajuk “Peranan as-Sunnah dalam Penentuan Fatwa dan Fiqh Perubatan” yang disampaikan oleh Naib Canselor UniSIRAJ merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, yang menekankan kepentingan al-Sunnah sebagai panduan holistik dalam menangani isu kesihatan dan perubatan kontemporari.

Kemuncak program ialah Syarahan Memorial Az-Zahrawi yang disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, sempena majlis penutup persidangan. 

Dalam syarahan bertajuk “Realiti dan Maslahah dalam Fatwa dan Fiqh Perubatan Kontemporari”, beliau menegaskan keperluan pendekatan fiqh yang dinamik bagi memastikan fatwa berkaitan perubatan bersifat praktikal, kontekstual serta memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah. 

Persidangan ini dilihat sebagai platform penting memperkukuh kerjasama antara institusi fatwa dan profesional kesihatan dalam merangka panduan syariah yang relevan dengan perkembangan perubatan moden serta keperluan masyarakat semasa.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 416
Semalam 2426
Minggu Ini 6269
Bulan Ini 29268

Keseluruhan 3493122

   Masa Capaian : 0.80 saat    Kemaskini :  18/2/2026