Khutbah Jumaat Perlis Tekankan Kepentingan Menjaga Adab Di Media Sosial

Khutbah Jumaat Perlis Tekankan Kepentingan Menjaga Adab Di Media Sosial

KANGAR, 23 Jan — Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa memelihara adab dan akhlak semasa menggunakan media sosial bagi memastikan platform digital tersebut tidak menjadi punca dosa serta kemurkaan Allah SWT.

Menerusi khutbah Jumaat bertajuk “Menjaga Akhlak di Media Sosial”, para jemaah ditekankan bahawa setiap bentuk komunikasi di alam maya termasuk komen, kapsyen dan perkongsian maklumat merupakan amanah yang akan dicatat serta dipersoalkan di akhirat kelak. Khutbah tersebut menegaskan bahawa tanggungjawab seorang Muslim terhadap kata-kata tidak hanya terhad kepada lisan, malah merangkumi setiap tulisan yang dizahirkan di skrin peranti masing-masing.

Umat Islam turut digesa agar lebih berhati-hati dengan tidak menyebarkan maklumat yang tidak pasti kesahihannya serta sentiasa menjaga maruah sesama manusia bagi mengelakkan fitnah. Selain itu, khutbah berkenaan menyeru orang ramai agar memanfaatkan media sosial sebagai medan untuk menyebarkan kebaikan, ilmu yang sahih serta peringatan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, khutbah tersebut turut memberi saranan agar penggunaan media sosial dikawal dengan bijak supaya tidak melalaikan individu daripada tanggungjawab utama terhadap Allah, keluarga dan kerjaya. Jabatan Mufti Negeri Perlis menegaskan bahawa menjaga akhlak di dunia digital adalah sebahagian daripada tuntutan iman dan setiap hantaran akan menjadi saksi pada hari pembalasan, sama ada ia membawa kepada ganjaran pahala atau penyesalan.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1022
Semalam 1490
Minggu Ini 2512
Bulan Ini 39939

Keseluruhan 3457649

   Masa Capaian : 0.79 saat    Kemaskini :  27/1/2026