Kangar, 23 Januari 2026 – Program Ijtimak Jumaat Khas Bersama Mufti Negeri Perlis yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para jemaah.
Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis ini menampilkan Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis sebagai penceramah utama menerusi kelas pengajian bertajuk Kitab Al-Syamail Al-Muhammadiyyah.
Sebelum slot utama bersama Mufti Perlis, para jemaah terlebih dahulu mengikuti slot Tahsin al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Anas bin Abdul Hadi. Slot ini memberi penekanan kepada pembetulan bacaan al-Quran serta penguasaan kaedah tajwid yang betul, sekali gus memberi manfaat yang besar kepada para peserta.
Program ini turut disertai oleh Guru Agama, Guru KAFA serta penduduk sekitar Kangar, yang hadir seawal pagi bagi mengikuti keseluruhan pengisian bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi.
Ijtimak Jumaat Khas ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian ilmu, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat, selaras dengan usaha memperkukuhkan kefahaman Islam secara berterusan di negeri ini.







