Hakikat Tawakal Dihayati Dalam Kehidupan Umat Islam

Hakikat Tawakal Dihayati Dalam Kehidupan Umat Islam

Kangar, 16 Januari 2026 – Umat Islam diseru agar memahami dan menghayati konsep tawakal yang sebenar, bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi sebagai pergantungan jantung hati sepenuhnya kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan.

Seruan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat bertajuk “Hakikat Bertawakal Kepada Allah” yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis dan dibacakan di seluruh masjid negeri hari ini. Khutbah tersebut menegaskan bahawa tawakal merupakan antara ibadah jantung hati yang paling utama serta mencerminkan kesempurnaan iman seseorang Mukmin.

Khutbah berkenaan, menjelaskan tawakal yang sebenar ialah keyakinan yang hidup dalam jantung hati, disertai usaha yang dibenarkan oleh syarak, sangkaan baik kepada Allah serta keredhaan terhadap setiap ketentuan-Nya. Ia bukan alasan untuk meninggalkan usaha, sebaliknya menuntut perancangan dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh sebelum menyerahkan hasil sepenuhnya kepada Allah SWT.

Khutbah turut menjelaskan bahawa iman yang benar tidak cukup dengan pengakuan lisan semata-mata, tetapi mesti dibuktikan melalui sikap tawakal ketika berhadapan dengan ujian hidup seperti kesusahan, kegagalan, tekanan kerja dan masalah keluarga. Firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW dijadikan sandaran bagi menegaskan bahawa Allah akan mencukupkan keperluan hamba-Nya yang benar-benar bertawakal.

Antara pendekatan yang ditekankan dalam khutbah tersebut termasuklah mengesakan Allah dalam tawakal, tidak menggantungkan jantung hati kepada makhluk, bersangka baik kepada Allah, serta redha menerima setiap ketentuan-Nya. Sikap ini, menurut khutbah, akan melahirkan ketenangan jiwa, menjauhkan kegelisahan dan memelihara akidah seorang Mukmin.

Khutbah turut mengingatkan umat Islam agar melazimi  doa bertawakal ketika keluar dari rumah, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, kerana ia menjamin petunjuk, perlindungan dan kecukupan daripada Allah SWT.

Sebagai penutup, khutbah menyeru agar umat Islam membetulkan tawakal dalam kehidupan seharian kerana Allah telah menjanjikan kecukupan, pertolongan dan pemeliharaan kepada hamba-hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada-Nya, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1022
Semalam 1490
Minggu Ini 2512
Bulan Ini 39939

Keseluruhan 3457649

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  27/1/2026