KANGAR, 12 Januari 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Majlis Perpisahan Pegawai Bahagian Falak dan Pengajaran bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perlis, hari ini, bagi meraikan Ustaz Ahmad Hafiz bin Jaafar.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas jasa serta pengorbanan Ustaz Ahmad Hafiz bin Jaafar sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Jabatan Mufti Negeri Perlis, khususnya dalam bidang falak dan pengajaran.
Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan, komitmen serta dedikasi yang telah dicurahkan oleh Ustaz Ahmad Hafiz bin Jaafar. Beliau turut menzahirkan harapan agar segala pengalaman, ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan sepenuhnya di tempat baharu, seterusnya terus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan umat Islam.
Majlis turut diserikan dengan ucapan wakil bahagian yang mengimbau kenangan sepanjang tempoh perkhidmatan serta kerjasama erat yang terjalin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab jabatan.
Dalam majlis yang sama, nota serah tugas turut diadakan sebagai simbol penyerahan tanggungjawab dan kesinambungan pengurusan kepada pegawai baharu yang akan menerajui unit berkenaan, bagi memastikan kelangsungan operasi dan perancangan unit dapat diteruskan dengan teratur dan berkesan.
Sebagai simbol kenangan dan penghargaan, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Ustaz Ahmad Hafiz bin Jaafar. Suasana majlis berlangsung dalam keadaan penuh mesra, harmoni dan rasa kekeluargaan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan penghargaan Jabatan Mufti Negeri Perlis terhadap sumbangan setiap warga kerja serta mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan kakitangan jabatan.







