Abu Dhabi, 15 Disember 2025 – Sahibus Samahah Dato’ Prof. Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis telah menyertai Sidang Antarabangsa Ketiga bertemakan Keluarga dalam Konteks Fiqh Realiti: Identiti Kebangsaan dan Kesatuan Masyarakat, yang dianjurkan oleh Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, pada 15-16 Disember 2025.
Sidang antarabangsa berprestij itu dianjurkan di bawah naungan Syeikhah Fatimah binti Mubarak, bersempena penetapan tahun 2026 sebagai Tahun Kekeluargaan bagi Emiriah Arab Bersatu, seperti yang diisytiharkan oleh Yang Teramat Mulia Sheikh Mohammed bin Zayed Ali Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu.
Persidangan tersebut menghimpunkan para mufti, ulama dan cendekiawan dari pelbagai negara bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan institusi kekeluargaan dalam realiti fiqh kontemporari.
Dalam sidang berkenaan, SS Dato’ Mufti Perlis turut menyampaikan ucapan serta terlibat secara langsung dalam sesi perbincangan ilmiah bersama para tetamu persidangan.
Sidang tersebut bertujuan membincangkan pelbagai cabaran semasa berkaitan institusi keluarga, termasuk perubahan sosial, kesejahteraan keluarga serta peranan institusi agama dalam menangani cabaran kontemporari berlandaskan prinsip agama dan maqasid syari'ah.
Penyertaan SS Dato’ Mufti Perlis dalam sidang antarabangsa ini mencerminkan komitmen Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam menyumbang kepada wacana ilmiah di peringkat antarabangsa serta memperkukuh peranan institusi fatwa dalam menangani isu-isu semasa umat Islam.
Gambar ihsan : Emirates News Agency dan facebook page Dr.Maza







