Menyedari akan ikatan ukhuwah yang tidak terpisah dan semangat kemanusiaan sejagat, adalah Saya dengan ini menyeru seluruh umat Perlis yang dikasihi agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Acheh.
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah bersetuju menetapkan agar, kutipan Tabung Jumaat di semua masjid seluruh negeri Perlis pada hari Jumaat, 19 Disember 2025 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1447H, akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh.
Besarlah harapan Saya agar sumbangan ikhlas yang dihulurkan oleh umat Perlis akan dapat membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula kehidupan saudara kita di Acheh. Sesungguhnya, bantuan ini adalah manifestasi daripada semangat persaudaraan dan keprihatinan yang terpuji.
Semoga Allah SWT merahmati setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan, serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh mangsa yang terlibat dalam menghadapi ujian besar ini.







