• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Huraian Fiqh Sunnah: Sunat Khutbah Mengandungi Hamd Allah Taala, al-Thana’ Ke Atas Rasulullah SAW, Peringatan dan Bacaan al-Quran

Oleh: Bahagian Buhuth & Istinbath Jabatan Mufti Perlis

------------------

Kata Syed Sabiq RH:

استحباب اشتمال الخطبة على حمد الله تعالى والثناء على رسول الله ﷺ والموعظة والقراءة:

Maksudnya: "Sunat Khutbah Mengandungi Hamd Allah Taala, al-Thana’ Ke Atas Rasulullah SAW, Peringatan dan Bacaan al-Quran." 

Huraian: 

Memulakan khutbah Jumaat dengan al-Hamd termasuk dalam perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa 22/393 menyatakan tidak pernah dinukilkan oleh seorangpun dari kalangan sahabat, baginda Nabi SAW pernah memulakan khutbah dengan selain dari al-Hamd, sama ada pada khutbah hari raya, al-Istisqa atau lainnya.

            Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir RA yang berkata: كانَتْ خُطْبَةُ النَّبِيِّ ﷺ يَوْمَ الجُمُعَةِ يَحْمَدُ اللهَ، ويُثْنِي عَلَيْهِ maksudnya: “Sentiasa khutbah Nabi SAW pada hari Jumaat (dimulakan) dengan baginda memuji dan memuja Allah.”

            Para fuqaha berbeza pandangan tentang hukum al-Hamd di permulaan khutbah. Ulama mazhab Syafi’e dan Hambali berpandangan memulakan khutbah Jumaat dengan al-Hamd adalah salah satu rukun khutbah Jumaat.

            Dalil para ulama yang mewajibkan ungkapan al-Hamd dalam khutbah Jumaat antaranya disebabkan terdapat beberapa hadis yang menunjukkan baginda sentiasa melazimi dan tidak pernah meninggalkannya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir RA yang berkata:

كانت خطبته صلى الله عليه وسلم يوم الجمعة يحمد الله ويثني عليه بما هو أهله, وقال أحمد: لم يزل الناس يخطبون بالثناء على الله والصلاة على رسوله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Khutbah baginda SAW pada hari Jumaat adalah dimulakan dengan memuji dan memuja Allah yang sememangnya layak menerima pujian dan pujaan.” Ibn Qasim dalam al-Ihkam Syarh Usul al-Ahkam 1/447 menukillan perkataan Imam Ahmad yang berkata:

لم يزل الناس يخطبون بالثناء على الله والصلاة على رسول الله – - ﷺ - لأن كل عبادة افتقرت إلى ذكر الله تعالى افتقرت إلى ذكر رسوله – - ﷺ - كالأذان وذكره مع ذكر ربه هو الشهادة له بالرسالة

Maksudnya: “Setiasalah orang ramai memulakan khutbah dengan ungkapan pujaan kepada Allah dan selawat ke atas Rasulullah SAW. Ini kerana setiap ibadah yang memerlukan zikrullah taala, perlu jjuga menyebut rasul-Nya, seperti azan yang terdapat sebutan nama baginda beserta sebutan tuhannya, iaitulah penyaksian kerasulan baginda.”

al-Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah RH menyatakan mazhab Syafie dan Hambali, kedua-duanya menjadikan rukun pertama bagi khutbah Jumaat adalah dengan ungkapan al-Hamd ini.

Zahir perkataan Syed Sabiq untuk bab ini menunjukkan al-Hamd, demikian juga al-Thana ke atas Rasulullah iaitulah berselawat dan mengungkapkan penyaksian akan kerasulan baginda, memberi peringatan dan membaca ayat al-Quran tidak termasuk perkara wajib atau rukun khutbah Jumaat di sisi beliau, sebaliknya semua perkara ini adalah sunat. Pandangan beliau ini bertepatan dengan pandangan beberapa ulama antaranya ulama mazhab Hanafi dan mazhab Maliki. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/522:

(فرع) في مذاهب العلماء في أقل ما يجزئ في الخطبة قد ذكرنا أن أركانها عندنا خمسة، وبه قال أحمد. وقال الأوزاعي وإسحاق وأبو ثور وابن القاسم المالكي وأبو يوسف ومحمد وداود: الواجب ما يقع عليه اسم الخطبة. وقال أبو حنيفة: يكفيه أن يقول: سبحان الله أو بسم الله أو الله أكبر أو نحو ذلك من الأذكار، وقال ابن عبد الحكم المالكي: إن هلل أو سبح أجزأه      

Maksudnya: “Berkaitan mazhab ulama tentang apa yang dapat menjadikan khutbah Jumaat itu sah. Telah kami nyatakan bahawa rukun khutbah Jumaat di sisi kami (ulama mazhab Syafi’e) adalah lima, dan inilah yang dikatakan juga oleh Ahmad. Manakala kata al-Auzai‘e, Ishak, Abu Thur, Ibn al-Qasim al-Maliki, Abu Yusuf, Muhammad dan Abu Daud: “Yang wajib ialah apa-apa yang dapat dinamakan ia khutbah.” Kata Abu Hanifah: “Memadai dengan berkata: “Subhanallah atau bismillah atau Allahu Akbar atau seumpamanya terdiri dari zikir-zikir kepada Allah.” Kata Ibn ‘Abd al-Hakam al-Maliki: “Jika diungkapkan tahlil atau tasbih telah memadai.”

 

Kata Syed Sabiq RH:

فعن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي ﷺ قال: (كل كلام لا يبدأ فيه بالحمد لله فهو أجذم  رواه أبو داود وأحمد بمعناه. وفي رواية (الخطبة التي ليس فيها شهادة كاليد الجذماء) رواه أحمد وأبو داود والترمذي، وقال (تشهد) بدل (شهادة). وعن ابن مسعود رضي الله عنه أن النبي ﷺ كان إذا تشهد قال: (الحمد لله نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا. من يهد الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له. وأشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده ورسوله أرسله بالحق بشيرا بين يدي الساعة. من يطع الله تعالى ورسوله فقد رشد، ومن يعصهما فإنه لا يضر إلا نفسه ولا يضر الله تعالى شيئا). عن ابن شهاب  أنه سئل عن تشهد النبي صلى الله عليه وسلم يوم الجمعة فذكر نحوه وقال: ومن يعصهما فقد غوى. رواهما أبو داود.

Maksudnya: ‘Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda: ‘Setiap percakapan yang tidak dimulai dengan pujuan kepada Allah, maka perkapan itu ajzam.” Riwayat Abu Daud dan Ahmad secara makna. Dalam riwayat lain: “Khutbah yang tiada di dalamnya syahadah adalah seperti tangan jazma’.” Riwayat Ahmad, Abu Daud dan alTirmizi, beliau (al-Tirmizi) juga berkata (lafaz) tasyahud ganti kepada (lafaz) syahadah. Daripada Abi Mas‘ud RA bahawa Nabi SAW apabila bertasyahhud, baginda akan berkata: اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. وَأشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده ورسوله أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيْرًا بَيْنَ يَدَيْ السَّاعَة. مَنْ يُطِعِ اللهَ تَعَالَى وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ رَشَد، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَإِنَّهُ لَا يَضُرُّ إَلَّا نَفْسَهُ وَلَا يَضُرُّ اللهَ تعالى شَيْئًا Daripada Ibn Syihab yang pernah ditanya tentang tasyahud Nabi SAW pada hari Jumaat. Beliau menyebut tasyahud yang seumpama dengan yang ini dan menyebut: وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Daud.

Huraian:

Termasuk dalam sunnah Nabi SAW, memulaikan khutbah dengan ungkapan pujian dan pujaan kepada Allah SWT. Syed Sabiq menyebut hadis Abu Hurairah ini di sini sebagai dalil sunat memulakan khutbah dengan ungkapan al-Hamd atau pujian kepada Allah SWT. al-Imam Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma‘ad 1/179 menyatakan: “Dahulunya Nabi SAW tidak berkhutbah melainkan baginda akan memulakan khutbah tersebut dengan pujian kepada Allah.” Kata Ibn Rejab dalam Fath al-Bari 8/267: خطبة النبي صلى الله عليه وسلم كانت تشتمل على حمد الله والثناء عليه بما هو أهله، وعلى الشهادة لله بالتوحيد، ولمحمد بالرسالة maksudnya: “Khutbah Nabi SAW dahulunya mengandungi pujian dan pujaan kepada Allah yang sememangnya layak untuk dipuji dan dipuja, demikian juga ungkapan penyaksian ketauhidan kepada Allah dan kerasulan Nabi Muhammad.”

Para ulama menyatakan percakapan yang tidak dimulakan dengan ungkapan pujian dan pujaan kepada Allah adalah percakapan yang dicabut keberkatan darinya.

Riwayat hadis yang menyebut: الخطبة التي ليس فيها شهادة كاليد الجذماء yang bermaksud: “Khutbah yang tiada di dalamnya syahadah adalah seperti tangan jazma’,” di mana “tangan jazma’,” bermaksud tangan yang terpotong yang tidak dapat diambil faedah oleh tuannya. Manakala ungkapan “syahadah”, jika dituturkan tanpa sebarang kaitan (disebut secara mutlaq), dimaksudkan kepada penyaksian ketauhidan kepada Allah Taala dan kerasulan Nabi SAW iaitulah ungkapan dua kalimah syahadah. Kemudian ia digunakan bagi merujuk kepada setiap ungkapan pemujaan dan pujian kepada Allah. (lihat Faidh al-Qadir 5/24)

Memulakan khutbah dengan ungkapan pujian dan pujaan kepada Allah menurut sighah diriwayatkan daripada Nabi SAW ini dinamakan sebagai Khutbah al-Hajah (خطبة الحاجة). Ia adalah sebaik-baik ungkapan pujian dan pujaan kepada Allah sebelum memulakan khutbah atau percakapan lainnya seperti sebelum memulakan akad nikah, di permulaan majlis ilmu, ceramah hatta di pendahuluan buku seperti yang dilakukan oleh para ulama terhadap kitab mereka.

Khutbah al-Hajah ini adalah pendahuluan sebelum memulakan perkara yang hendak disampaikan. Imam Muslim meriwayatkan hadis Jabir yang berkata:

كانَ رَسُولُ اللهِ -ﷺ- إذا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْناهُ، وعَلاَ صَوْتُهُ، واشْتَدَّ غَضَبُهُ، حَتّى كَأنّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ، يقُولُ: صَبَّحَكُمْ ومسّاكُمْ، ويَقُولُ: أمّا بعْدُ، فَإنَّ خَيْرَ الحَدِيثِ كِتابُ اللهِ، وخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ، وشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثاتُها، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضلاَلَةٍ

maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila berkhutbah dalam keadaan merah kedua mata, tinggi suara dan sangat bersungguh menyampaikannya. Baginda akan berkata: “berikan perhatian pada waktu pagi dan petang kamu semua dari serangan musuh.” Baginda juga menyebut: أمّا بعْدُ، فَإنَّ خَيْرَ الحَدِيثِ كِتابُ اللهِ، وخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ، وشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثاتُها، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضلاَلَةٍ.”

Ungkapan Amma Ba’d (أم بعد), di sisi sebahagian ulama adalah Fasl al-Khitab (فصل الخطاب)  yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT: وآتَيْناهُ الحِكْمَةَ وفَصْلَ الخِطابِ maksudnya: “dan Kami kurniakan kepadanya (Nabi Daud AS) kebijaksanaan (kenabian dan ilmu yang luas) dan Fasl al-Khitab (sebahagian ulama mengatakan ia memaksudkan kepada kebijaksanaan dalam menjalan dan menjatuhkan hukuman).” (Sad: 20)

Ungkapan ini berperanan memisahkan antara ungkapan pujian dan pemujaan kepada Allah dengan persoalan lain yang hendak disampaikan. Manakala kalimah هدي dengan dibaris dhammah huruf Ha’ dan fathah huruf Dal (هُدَى) bermaksud petunjuk dan bimbingan (الدلالة والإرشاد). Jika dibaris fathah huruf Ha’ dan sukun huruf Dal (هَدْي), ia bermaksud jalan terbaik adalah jalan Nabi Muhammad. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram 2/576)

Kata Syed Sabiq RH:

وعن جابر بن سمرة رضي الله عنه قال: كان رسول الله ﷺ يخطب دائما ويجلس بين الخطبتين. ويقرأ آيات ويذكر الناس. رواه الجماعة إلا البخاري والترمذي. وعنه أيضا رضي الله عنه عن النبي ﷺ أنه كان لا يطيل الموعظة يوم الجمعة إنما هي كلمات يسيرات. رواه أبو داود

Terjemahan: “Dan daripada Jabir bin Samurah RA katanya: “Dahulunya Rasulullah SAW berkhutbah dan baginda akan duduk antara dua khutbah. Baginda akan membaca ayat al-Quran dan akan memberi peringatan kepada orang ramai.” riwayat al-Jama‘ah melainkan al-Bukhari dan al-Tirmizi. Daripada Jabir bin Samurah RA juga, daripada Nabi SAW bahawa baginda tidak memanjangkan memberi peringatan (khutbah) pada hari Jumaat, sebaliknya khutbah baginda ringkas.” riwayat Abu Daud.”

Huraian:

Hadis ini membuktikan termasuk dalam perbuatan Nabi SAW bagi khutbah Jumaat ialah duduk antara dua khutbah. Hadis dengan makna yang sama diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahih mereka berdua.

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum khatib duduk di antara dua khutbah ini. Berdasarkan susunan persoalan yang disentuh oleh Syed Sabiq dalam bab ini, dapat difahami beliau berpandangan duduk antara dua khutbah Jumaat adalah sunat. Pandangan ini bertepatan dengan pandangan ulama mazhab Hanafi dan Maliki. Demikian juga salah satu wajah dalam kalangan ulama mazhab Syafi’e yang dinilai sebagai pandangan Syaz oleh al-Nawawi. Inilah juga pandangan Imam Ahmad berdasarkan riwayat yang masyhur dan pandangan al-Sahih di sisi para sahabat beliau. Inilah juga pandangan majoriti ulama.

Pandangan ini berbeza dengan pandangan yang mengatakan duduk antara dua khutbah adalah salah satu syarat sah khutbah Jumaat. Inilah pandangan al-Sahih dan al-Masyhur di sisi ulama mazhab Syafi‘e. Demikian juga berdasarkan salah satu riwayat lain dari Imam Ahmad, yang menjadi pilihan sebahagian para sahabat beliau yang lain. (Lihat Khutbah al-Jumu‘ah wa Ahkamuha al-Fiqhiyyah, hal: 249)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 15/270 dinyatakan:

ذهب الحنفية، وجمهور المالكية، والحنابلة في الصحيح من المذهب إلى أن الجلوس بين خطبتي الجمعة، والعيدين سنة؛ لما روي عن أبي إسحاق قال: رأيت عليا يخطب على المنبر فلم يجلس حتى فرغ .ويرى الشافعية وهو رواية عن أحمد أن الجلوس بينهما بطمأنينة شرط من شروط الخطبة؛ لخبر الصحيحين: (أنه صلى الله عليه وسلم كان يخطب يوم الجمعة خطبتين يجلس بينهما

Maksudnya: “Ulama mazhab Hanafi, majoriti ulama mazhab Maliki dan ulama mazhab Hambali pada pandangan al-Sahih dari al-Mazhab berpandangan duduk antara dua khutbah Jumaat dan dua hari raya adalah sunat, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Ishak yang berkata: “Aku pernah melihat ‘Ali (bin Abi Talib RA) berkhutbah di atas mimbar dan beliau tidak duduk (di pertengahannya) sehingga selesai khutbah.” Manakala ulama mazhab Syafi‘e, dan satu riwayat lain dari Ahmad berpandangan duduk antara dua khutbah dengan tenang (duduk seketika) adalah satu syarat dari syarat-syarat khutbah berdasarkan hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Muslilm: “Bahawa baginda SAW berkhutbah pada hari Jumaat sebanyak dua khutbah, baginda akan duduk antara dua khutbah tersebut.”

Athar ‘Ali bin Abi Talib tidak duduk di pertengahan khutbah sehingga selesai diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan ‘Abd al-Razzaq dalam Musannaf mereka berdua daripada Abi Ishak al-Sabi‘e (أبي إسحاق السبيعي), termasuk dalam kalangan mereka yang sempat berjumpa dengan ‘Ali bin Abi Talib. Namun beliau tidak mendengar hadis dari ‘Ali bin Abi Talib RA seperti yang dinyatakan dalam Tahzib al-Tahzib. Keadaan ini menjadikan athar ini berstatus munqati’. Ditambah lagi dengan kenyataan sebahagian ulama yang mengatakan Abi Ishak seorang yang berlaku ikhtilath di hujug usianya. Rawi yang mengambil hadis ini daripada beliau ialah Ibn Soleh. Di mana tiada bukti Ibn Soleh ada mengambil hadis daripada Abi Ishak al-Sabi‘e sebelum berlaku al-Ikhtilath (الاختلاط) pada beliau. Namun dalam al-Jauhar al-Naqiy tentang sanad athar Ibn Abi Syaibah dinyatakan: “Sanad ini sahih berdasarkan syarat al-Jama‘ah.” (Lihat Khutbah al-Jumu‘ah Wa Ahkamuha al-Fiqhiyyah, hal: 42)

            Hadis Jabir yang disertakan oleh Syed Sabiq:  “Dahulunya Rasulullah SAW berkhutbah, baginda akan duduk di antara dua khutbah. Baginda akan membaca ayat al-Quran dan akan memberi peringatan kepada orang ramai,” dijadikan dalil oleh sebahagian ulama, membaca ayat al-Quran dan memberi pesanan agar bertaqwa termasuk dalam rukun khutbah Jumaat.

            Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Zad al-Ma‘ad 1/410 berpandangan tidak memadai khutbah dengan hanya mencela dunia dan menyebut tentang kematian. Sebaliknya hendaklah khutbah menurut namanya secara uruf yang dapat menggerakkan hati, mendorong melakukan kebaikan, menganjur melakukan ketaatan, melarang melakukan maksiat dan menyeru kembali kepada Allah. Khutbah tidak terlaksana jika hilang maksud yang dikehendaki darinya. Disebabkan tersembunyi cahaya kenabian dari orang ramai, menjadikan khutbah tidak lagi memberi faedah kepada hati manusia dan menjadi hilang maksud sebenar yang dikehendaki, sedangkan Nabi SAW bersungguh-sungguh menyampaikan khutbah sehingga merah kedua mata dan tinggi suara baginda, seperti seorang panglima perang memberi peringatan kepada pasukan tenteranya dengan ungkapan memberi peringatan besar dengan berkata: صَبَّحَكم ومَسّاكم yang bermaksud: “Musuh datang pada waktu pagi kamu dan petang kamu.” Ia berupa peringatan besar akan datangnya hari kiamat secara tiba-tiba sepertimana kedatangan musuh secara tiba-tiba pada waktu pagi atau petang, sedangkan orang ramai masih dalam keadaan tidur. (Lihat maksud صَبَّحَكم ومَسّاكم dari al-Mafatih Fi Syarh al-Masabih oleh al-Zaidani 2/329)

            Selain itu khutbah Jumaat juga hendaklah tersusun, menggunakan bahasa yang indah dan jelas sehingga dapat memberi kesan kepada para pendengar. al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir 2/441 berkata:

المقصود بالخطبة شيئان: الموعظة، والإبلاغ، ويقصد بموعظته ثلاثة أشياء: إيراد المعنى الصحيح، واختيار اللفظ الفصيح، واجتناب ما يقدح في فهم السامع من تمطيط الكلام ومده، أو العجلة فيه عن إبانة لفظه، أو ركب ما يستنكر من غريب الكلام وإعرابه، ولا يطيل إطالة تضجر، ولا يقصر تقصيرا يبتر، ويعتمد في كل زمان على ما يليق بالحال

Maksudnya: “maksud utama dari khutbah ada dua: peringatan dan menyampaikannya kepada pendengar. Peringatan tersebut terlaksana dengan ada tiga perkara, iaitulah, mendatangkan makna yang benar, memilih lafaz yang jelas lagi indah, menjauhi apa-apa yang tidak elok pada kefahaman pendengar dari ucapan yang panjang dan berjela atau tergesa-gesa sehingga tidak menyebut lafaz dengan jelas atau menggunakan ucapan yang tidak dapat diterima, tidak memanjangkan khutbah sehingga membosankan, tidak juga terlalu memendekkan khutbah sehingga hilang faedahnya. Sebaliknya hendaklah pada setiap ketika menggunakan ucapan yang sesuai dengan keadaan.”    

 

Kadar Lama Duduk Antara Dua Khutbah

Para ulama bersepakat, duduk antara dua khutbah hanya dilakukan dalam tempoh seketika. Mereka berbeza pandangan dalam menentukan kadar seketika tersebut, secara ringkasnya:

Pandangan pertama: Sekadar tempoh bacaan surah al-Ikhlas. Inilah pandangan sebahagian ulama mazhab Maliki, ulama mazhab Syafi‘e dan sekumpulan ulama mazhab Hambali. 

Pandangan Kedua: Sekadar tempoh membaca tiga ayat al-Quran. Inilah zahir riwayat dari ulama mazhab Hanafi.

Pandangan ketiga: Sekadar memungkinkan khatib duduk di tempatnya dan setiap anggotanya kembali tetap pada kedudukannya. Inilah pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi.

Pandangan keempat: Sekadar tempoh duduk antara dua sujud. Inilah pandangan sebahagian ulama mazhab Maliki.  

al-Syeikh Dr. ‘Abdul ‘Aziz al-Hujailan (عبد العزيز الحجيلان) berpandangan ia hanyalah duduk yang seketika untuk kerehatan dan pemisah antara dua khutbah. Tiada penetapan kadar tertentu, sebaliknya ia menurut khatib. Hal ini disebabkan ketiadaan hadis sahih yang menjelaskan kadarnya. Selain itu penetapan kadar menafikan tujuan asal pensyariatan duduk seketika tersebut, iaitulah untuk kerehatan dan mengadakan pemisahan antara dua khutbah, di mana khatib akan sibuk memastikan kadar duduknya memenuhi kadar tempoh yang ditetapkan. (Lihat halaman: 260)   

Meringkaskan Khutbah Jumaat

            Terdapat dakwaan berlaku ijmak dianjurkan atau sunat memendekkan khutbah berbanding solat. al-Qarafi dalam al-Zhakhirah 2/345 berkata: اتَّفق الجميعُ على استحسانِ قَصْر الخطبة maksudnya: “Sepakat seluruh (ulama) baik memendekkan khutbah.” Kata al-Syaukani dalam Nail al-Awthar 3/321: أحاديثُ الباب فيها مشروعيَّة إقصار الخطبة، ولا خلاف في ذلك maksudnya: “Hadis-hadis dalam bab ini menunjukkan penyariatan memendekkan khutbah. Tiada khilaf dalam perkara ini.”

Hadis yang disertakan oleh Syed Sabiq dari Jabir bin Samurah RA menunjukkan, sunat memendekkan khutbah. Hadis daripada ‘Ammar bin Yasir RA dinyatakan:

إنَّ طُولَ صَلاةِ الرَّجُلِ، وقِصرَ خُطبتِه مَئِنَّةٌ مِن فِقهِه؛ فأَطيلوا الصلاةَ، واقْصُرُوا الخُطبةَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya panjang solat seseorang lelaki (imam) dan ringkas khutbahnya adalah tanda kefaqihannya. Oleh itu panjangkanlah solat dan ringkaskan khutbah.”

Ibn al-‘Athir dalam al-Nihayah 4/290, demikian juga al-Jauhari dalam al-Sihah menyatakan, مَئِنَّةٌ adalah tanda bagi sesuatu. Ia bermaksud panjang slat dan pendek khutbah termasuk dalam perkara yang menandakan pemahaman (fiqh) seseorang. Setiap perkara yang menjadi tanda kepada sesuatu perkara, maka perkara itu adalah مَئِنَّةٌ baginya.

            Dimaksudkan dengan khutbah yang ringkas di sini ialah khutbah yang sederhana atau yang bersuaian. Hal ini dibuktikan dengan hadis riwayat Imam Muslim daripada Jabir bin Samurah RA yang berkata:

كُنْتُ أُصَلِّي مع النبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ الصَّلَوَاتِ فَكَانَتْ صَلَاتُهُ قَصْدًا، وَخُطْبَتُهُ قَصْدًا

Maksudnya: “Daku telah menunaikan banyak solat bersama Nabi SAW. Solat baginda adalah sederhana atau pertengahan dan khutbah baginda juga sederhana dan pertengahan.”  

Riwayat ini menghuraikan maksud anjuran memendekkan khutbah Jumaat itulah tidak terlalu panjang dan tidak juga ringkas sehingga tidak mencapai maksud memberi peringatan. Sebaliknya khubah yang terbaik adalah yang bersesuaian untuk orang dewasa dan remaja, jauh dari memberat-beratkan mereka. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu 4/529: يكون قصرها معتدلًا، ولا يُبالغ بحيث يَمحَقُها maksudnya: “Keadaan ringkas khutbah itu adalah pertengahan, tidak terlalu panjang sehingga menghilangkan manfaatnya.”

Jika ada keperluan, tidak mengapa memanjangkan khutbah. Kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah RH 1/191:

ولا بأسَ بتطويلِ الخُطبة أحيانًا بحسَب الحاجة، واقتضاءِ الحال

Maksudnya: “Tidak mengapa memanjangkan khutbah secara kadang-kala menurut keperluan dan keadaan.”

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1076
Semalam 982
Minggu Ini 3148
Bulan Ini 21044

Keseluruhan 3093337

   Masa Capaian : 0.80 saat    Kemaskini :  09/12/2024