• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Huraian Fiqh Sunnah: Tempat Mendirikan Jumaat

TEMPAT DIDIRIKAN JUMAAT

Kata Syed Sabiq RH:

مكان الجمعة: الجمعة يصح أداؤها في المصر والقرية والمسجد وأبنية البلد والفضاء التابع لها، كما يصح أداؤها في أكثر من موضع. فقد كتب عمر رضي الله عنه إلى أهل البحرين: (أنْ جَمِّعُوا حَيْثُما كُنْتُمْ). رواه ابن أبي شيبة، وقال أحمد: إسناده جيد. وهذا يشمل المدن والقرى.

وقال ابن عباس: (إنَّ أوَّلَ جُمُعَةٍ جُمِّعَتْ فِي الإسْلامِ بَعْدَ جُمُعَةٍ جُمِّعَتْ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ بِالمَدِينَةِ، لَجُمُعَةٌ جُمِّعَتْ بِجُوَاثا، قَرْيَةٌ مِن قُرى البَحْرَيْنِ). رواه البخاري وأبو داود.
وعن الليث بن سعد أنَّ أهْل مِصْرَ وسَواحِلِهَا كانُوا يُجَمِّعُونَ عَلى عَهْدِ عُمَرَ وعُثْمانَ بِأمْرِهِما وفِيها رِجَال مِن الصَّحابَةِ. وعن ابن عمر أنَّهُ كانَ يَرى أهْلَ المِياهِ بَيْنَ مَكَّةَ والمَدِينَةِ يُجَمِّعُونَ فَلا يَعْتُبُ عَلَيْهِمْ. رواه عبد الرزاق بسند صحيح.

Maksudnya: “Tempat didirikan Jumaat: Sah melaksanakan Jumaat di kota, di kampung, di masjid, di kawasan bangunan dalam bandar, di tanah lapang bagi sesuatu bandar, sama sepertimana sah melaksanakan Jumaah lebih dari satu tempat. ‘Umar RA pernah menulis surat kepada penduduk Bahrain: “Dirikanlah Jumaat di mana sahaja kamu berada.” Riwayat Ibn Abi Syaibah. Kata Ahmad: “Isnadnya jayyid.” Ini merangkumi kota dan kampung.

Kata Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya Jumaat pertama yang dilakukan dalam Islam selepas Jumaat yang dilakukan di masjid Rasulullah SAW di Madinah ialah Jumaat yang dilakukan di Jautha, satu kampung dari kampung yang berada di Bahrain.” Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud.

Daripada al-Laith bin Sa‘ad, bahawa penduduk Mesir dan kawasan pantai sekitarnya melakukan Jumaat di zaman ‘Umar dan ‘Uthman dengan arahan mereka berdua, ketika itu juga masih ada ramai tokoh dalam kalangan sahabat. Daripada Ibn ‘Umar, bahawa beliau pernah melihat Ahl al-Miyah (penduduk kampung, luar dari kota) yang terletak antara Mekah dan Madinah melaksanakan Jumaat dan beliau tidak mencela mereka (dengan perbuatan tersebut). Riwayat ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih.”      

HURAIAN

            Persoalan tempat didirikan solat Jumaat menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 27/196 menyatakan:

Ulama mazhab Hanafi berpandangan menjadi syarat tempat yang hendak dilaksanakan Jumaat itu berada dalam kota atau Misr (مصر) iaitulah setiap bandar (بلدة) yang terdapat jawatan qadhi bagi menyelesaikan perbalahan dan pertikaian dalam masyarakat. Dalam al-Mabsuth dinyatakan, zahir mazhab dalam menjelaskan batas Misr Jami (المصر الجامع) iaitu; hendaklah dalam kota tersebut terdapat pemimpin atau qadhi yang melaksanakan hudud dan menjalankan hukum-hakam. Termasuk dalam kategori kota ini, kawasan luar sekitarnya (ضاحية), kawasan lapang (فِناء) dan kampung sekitar yang tabi'ah dengan kota, dengan syarat jaraknya dekat dalam bentuk memungkinkan penduduknya hadir melaksanakan Jumaat di kota tersebut dan pulang semula ke rumah mereka pada hari yang sama tanpa takalluf atau kepayahan.

Oleh itu sesiapa yang tinggal di kampung yang jauh dari bandar atau kota, tidak ditaklifkan untuk melaksanakan Jumaat. Jika mereka laksanakan juga, tidak sah Jumaat tersebut.

Ulama mazhab Maliki mensyaratkan Jumaat mesti didirikan di kawasan yang sesuai untuk didiami. Maka sah Jumaat yang dilaksanakan di kawasan berbangunan dan rumah yang dibuat dari kayu, kulit dan pelepah seperti pelepah tamar (الأخصاص) yang sesuai untuk didiami dalam tempoh yang lama. Tidak sah jika Jumaat didirikan di kawasan berkhemah, kerana ia tidak sesuai untuk didiami dalam tempoh yang lama pada kebiasaannya.

Ulama mazhab Syafi’e berpada dengan syarat Jumaat itu didirikan dalam perbatasan atau dalam kawasan bangunan (خِطَّة أبْنِيِة), sama ada dari kota atau kampung. Kata al-Syirazi: “Tidak sah Jumaat melainkan pada bangunan (kawasan yang berkependudukan) yang didiami oleh mereka yang dijajdikan iktibar terlaksana perlaksanaan Jumaat, sama ada ia di kota atau kampung.”    

Ulama mazhab Hambali berpandangan Jumaat boleh didirikan di padang pasir dan antara tempat dipacakkan khemah. Kata Ibn Qudamah: “tidak disyaratkan untuk sah Jumaat ia dilaksanakan dalam kawasan binaan. Jumaat boleh dilaksanakan di kawasan lapang luar yang berhampiran dengan binaan kota.”

            Dari perbezaan pandangan para ulama mazhab dalam perkara ini dapat disimpulan; penduduk kampung yang tidak tabi‘ah kepada kota bersebelahan, di sisi mazhab selain mazhab Hanafi, wajib melaksanakan Jumaat di tempat mereka dan tidak ditaklifkan hadir ke kota untuk melaksanakan Jumaat.  Manakala mazhab Hanafi berpandangan mereka tidak ditaklifkan melaksanakan Jumaat. Bahkan jika mereka melaksanakannya di tempat mereka, Jumaat tersebut tidak sah. Mereka wajib pergi ke kota yang berhampiran jika mendengar seruan azan.

            Pandangan yang dipilih oleh Syed Sabiq berdasarkan zahir perkataannya dalam permasalah ini adalah sama dengan pandangan majoriti ulama. Iaitulah Jumaat boleh dilaksanakan di kawasan yang berlaku perhimpunan orang ramai dan mereka menjadikannya kawasan penempatan. Tidak disyaratkan kawasan itu mestilah kota yang mempunyai pihak berkuasan dan qadhi. Sebaliknya Jumaat boleh dilakukan di bandar dan kampung. al-Imam al-Bukhari membuat satu bab dalam kitab Sahihnya sebagai: باب الجمعة في القرى والمدن maksudnya: “Bab Tentang Jumaat (yang dilaksanakan) Di Kampung Atau Bandar.” Lalu beliau menyebut hadis Ibn ‘Abbas yang berkata:

 ‏إن أوَّلُ جُمُعَةٍ جُمِّعَتْ بَعْدَ جُمُعَةٍ جُمِّعَتْ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ -ﷺ-، فِي مَسْجِدِ عَبْدِ القَيْسِ بِجُوَاثَى مِنَ البَحْرَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Jumaat pertama yang dilakukan dalam Islam selepas Jumaat yang dilakukan di masjid Nabi SAW ialah Jumaat yang dilakukan di masjid ‘Abd al-Qais di Juwatha dari kampung yang berada di Bahrain.” Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani RH dalam Fath al-Bari 2/380:

أنَّ الظّاهِرَ أنَّ عَبْدِ القَيْسِ لَمْ يُجَمِّعُوا إلّا بِأمْرِ النَّبِيِّ ﷺ لِما عُرِفَ مِن عادَةِ الصَّحابَةِ مِن عَدَمِ الِاسْتِبْدادِ بِالأُمُورِ الشَّرْعِيَّةِ فِي زَمَنِ نُزُولِ الوَحْيِ ولِأنَّهُ لَوْ كانَ ذَلِكَ لا يَجُوزُ لَنَزَلَ فِيهِ القُرْآنُ

Maksudnya: “Bahawa yang zahir, ‘Abd al-Qais tidak akan melaksanakan Jumaat melainkan dengan perintah Nabi SAW, berdasarkan apa yang diketahui dari kebiasaan para sahabat yang tidak akan mengeluarkan pandangan sendiri dalam perkara-perkara agama di zaman penurunan wahyu. Demikian juga jika perkara tersebut tidak boleh sudah pasti akan turun ayat al-Quran tentangnya.”

Perkataan Syed Sabiq ini bukan bermaksud orang yang bermusafir boleh melakukan Jumaat, dua orang, tiga orang atau lebih. Hal ini sedemikian kerana Nabi SAW, demikian juga para sahabat sering bermusafir untuk melaksanakan haji atau berjihad, namun mereka tidak menunaikan Jumaat sekalipun mereka dalam jumlah yang ramai.

Perkataan Syed Sabiq ini merujuk kepada kumpulan yang bermastautin dalam rumah atau sesuatu yang biasa dijadikan kediaman dan penghuninya tidak akan meninggalkan tempat tinggal mereka tersebut, melainkan jika ada keperluan. Adapun perkumpulan manusia yang menetap di sesuatu tempat di dalam khemah dalam bentuk sementara, tidak wajib Jumaat ke atas mereka. Bukti dalam hal ini ialah kewujudan dahulunya orang-orang ‘Arab yang berpindah randah sekitar Madinah. Baginda tidak memerintahkan mereka mendirikan Jumaat, kerana mereka berkeadaan seperti orang yang dalam permusafiran. (Lihat Taudhih al-Ahkam 2/621)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 5
Semalam 1188
Minggu Ini 3265
Bulan Ini 21161

Keseluruhan 3093454

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  09/12/2024